Kementerian Pendidikan, polis siasat Negaraku dalam Mandarin


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak.

Mengulas penularan video murid sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin, KPM dalam kenyataan hari ini berkata siasatan terperinci sedang dijalankan.

“KPM mengambil maklum mengenai penyebaran video murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku yang diubah ke bahasa Mandarin dan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan yang sedang tular di media sosial.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan berkaitan isu ini yang juga berlaku di beberapa sekolah lain,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata polis telah membuka siasatan berhubung perkara itu.

“Video itu adalah video lama dan kami akan membuka siasatan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 1 minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 September, 2018 di sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.– Bernama, 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen