BEKAS pengerusi tetap Pemuda PKR Muhammad Mizan Adli Mohd Noor mendakwa kongres tahunan sayap yang berlangsung pagi ini tidak sah kerana pengerusi tetap dan timbalan yang baharu dilantik tanpa kehadiran penyandang lama.
Mizan dan timbalannya Mohd Ramly Ahmad awal hari ini dihalang daripada memasuki dewan persidangan di Pusat Perdagangan Antarabangsa (MITC) Melaka, sekaligus mencetuskan kekecohan dalam kalangan perwakilan.
“Saya dan timbalan nak masuk ke dalam dewan. Saya dihalang (daripada masuk dewan) termasuk perwakilan sedangkan mereka ada hak.
“Bila mereka tak lepaskan perwakilan yang sah masuk, kekecohan berlaku.
“Kongres yang bermula bagi saya tidak sah kerana tidak mengikut cara yang betul, terus lantik pengerusi baru sedangkan harus dimulakan dengan kehadiran ada pengerusi lama,” kata Mizan, kepada wartawan di luar dewan persidangan di Ayer Keroh.
Menurut Mizan, beliau dan pengikutnya akan membuat laporan polis atas insiden yang berlaku hari ini.
Sementara itu, Mizan kesal dengan sikap Ketua Pemuda Akmal Nasir yang beliau sifatkan tidak mengendahkan hasil perbincangan antara presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali untuk membenarkan beliau masuk ke persidangan dan mengendalikan kongres.
“Akmal juga tak ikut nasihat presiden dan timbalan dalam pertemuan mereka tempoh hari, sepatutnya saya dibenarkan masuk ke dalam dan selepas itu nak tukar tukarlah.
“Tapi saya ditarik, dihentak, dipukul dan dihalau keluar.
“Akmal gunakan budaya gengsterisme,” kata Mizan lagi.
Kekecohan tercetus sekitar pukul 8.40 pagi sewaktu Mizan dan Ramly cuba memasuki dewan persidangan untuk memulakan kongres.
Tolak menolak berlaku dan jerit menjerit kedengaran setelah pihak keselamatan menghalang Mizan dan Ramly daripada memasuki dewan, mencetuskan huru-hara di lobi dewan persidangan.
Pihak keselamatan turut melarang mana-mana perwakilan yang tidak memakai baju Melayu daripada memasuki dewan persidangan, sekali gus menghangatkan lagi suasana di pintu masuk dewan.
Sejurus sidang media Mizan, sekumpulan perwakilan Pemuda sekali lagi cuba merempuh pintu masuk sehingga mengakibatkan insiden tumbuk menumbuk.
Pada suatu ketika, perwakilan yang ditolak oleh petugas keselamatan berbaju T hitam bertindak mengejar mereka sehingga menyebabkan petugas berkenaan lari keluar dari bangunan.
Keadaan reda lebih kurang pukul 10.30 pagi selepas pihak keselamatan kongres Pemuda kemudiannya memberikan kebenaran kepada mereka yang mempunyai tag perwakilan sah untuk memasuki dewan. – 6 Disember, 2019.
Komen