Mana pelan pemulihan Felda?


PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berasa dukacita dan terkilan atas pembentangan Bajet 2018 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen semalam.

Meskipun beberapa peruntukan yang berkaitan Felda diumumkan, ia tidak menyeluruh dan gagal merungkai situasi kritikal yang melanda Felda kebelakangan ini.

Kami ingin mempersoalkan beberapa perkara berikut:-

Apa kesudahannya Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) sebanyak 20,000 unit dengan kos RM1.4 bilion yang diumumkan pada 2012?

Di maklumkan oleh pengerusi Felda ketika itu, Isa Samad, sebanyak 8,570 unit akan mula dibina dan dijangka siap dalam masa lima tahun. Yang pasti, perumahan generasi baru ini terbengkalai sehingga kini, dan tidak dapat dipastikan bila mahu dipulihkan.

Kami inginkan kepastian, adakah 5,000 unit rumah Generasi Baru Felda dengan kos RM164 juta yang diumumkan semalam, di lokasi baru atau termasuk di kawasan perumahan yang terbengkalai?

Apa kesudahannya Projek Sentuhan Kasih Felda di Felda Tenggaroh 3, Felda Chini Timur 2 dan Felda Tenang (Besut) sebagai projek perintis berteknologi tinggi yang menelan belanja RM120 juta?

Setakat ini, hasil tinjauan Anak, hanya di Felda Tenggaroh 3 sahaja, 100 buah rumah berjaya disiapkan. Namun, pakej pembangunannya dianggap gagal.

Hingga kini, peserta projek tidak tahu berapa hutang sebenar atas pinjaman rumah kononnya “ala banglo” yang mereka diami.

Sekali lagi isu wang SES atau Kumpulan Wang Perusahaan Getah dimanipulasi di Parlimen. Kami masih ingat ketika kempen PRK Kerdau pada t2011, perdana menteri berjanji kepada 7,800 peneroka getah di 28 Felda seluruh negara.

Kini, komitmen kerajaan memulangkan wang SES ini kepada 8925 peneroka dengan peruntukan RM43 juta.

Realitinya, para peneroka getah ini sudah terlalu letih berulang alik ke pejabat Risda bagi menuntut hak mereka.

Jika pun mereka dapat, adakah Risda membayarnya terus kepada peneroka, atau melalui Felda yang penuh kerenah birokrasi?

Kebimbangan Anak, wang SES tersebut akan dipotong di sana sini!

Berapakah yang tinggal buat peneroka, sedangkan ia sangat penting untuk tujuan tanam semula sepertimana matlamat tabung SES ini diwujudkan.

Seharusnya, pembentangan bajet di manfaatkan bagi kerajaan menerangkan secara terperinci Pelan Pemulihan Felda.

Di mana kesudahannya Pelan Induk Transformasi Felda 2013-2056 yang disediakan pakar ekonomi dan para konsultan?

Bagaimana kedudukan terkini Felda Investment Corporation (FIC) melalui 12 pelaburan bernilai berbilion ringgit?

Sebahagiannya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada yang ditahan serta didakwa atas pelbagai penyelewengan.

Perdana menteri tentu tahu mengenai pembentangan Pelan Induk Transformasi Felda dan dikemukakan dalam ALP Felda.

Maka beberapa projek tidak masuk akal, antaranya projek ternakan ikan sturgeon; sebagaimana pendedahan kepincangannya oleh Laporan Audit Negara.

Ketika ini terdapat 59,569 orang peneroka Felda diurus kebun mereka melalui Felda Technoplant Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 22 Jun 2005.

Isu pendapatan yang rendah, pengurusan ladang yang tidak sempurna dan timbunan hutang masih menghantui para peneroka dan bilakah akan berakhir.

Anak tidak menolak kewibawaan Dzulkifli Abd Wahab, mantan pengarah besar Felda, yang dilantik menerajui Felda Technoplant.

Namun, kerajaan harus mengkaji semula kedudukan Technoplant yang menimbulkan kemarahan peneroka atas berbagai isu.

Mengapa tidak diperkasa peranan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan koperasi di setiap rancangan Felda yang berkepentingan langsung dengan pengurusan kebun peneroka. Segala potensi khususnya melahirkan usahawan ladang terdiri daripada generasi baru Felda dapat dijayakan.

Bukankah ia baik untuk sosio ekonomi anak peneroka daripada membiarkan Technoplant atau pihak kapitalis mengambil kesempatan atas keringat peneroka?

Terlalu banyak untuk Anak perkatakan mengenai situasi sedih yang menyelubungi Felda waktu ini.

Bajet semalam tidak memberikan sebarang kelegaan daripada kemurungan warga Felda, kesan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, kehilangan berbilion wang Felda dan kesilapan melantik Isa Samad.

Benarlah seperti pantun Sasterawan Negara,  A. Samad Said;

Masuk ke hutan muncul di rimba,
Selam di tasik, timbul dilaut;
Bajet umpama simbahan gula,
Yang heboh beri, yang senyap kaut. – 28 Oktober, 2017.

 

* Mazlan Aliman adalah presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen