“TIDAK mungkin. Sama sekali tidak.”
“Tiada peluang… kecuali mereka bermain kotor.”
Ini adalah jawapan yang anda mungkin akan dapat jika menyoal penduduk di Semporna bagi menilai peluang Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan penguasaan kerusi Parlimen dengan tindakan “anak kesayangan” mereka, Shafie Apdal menyertai pembangkang.
Shafie, berketurunan Bajau sebagaimana majoriti penduduk di bandar pantai timur Sabah ini, adalah bekas naib presiden Umno sehingga beliau dipecat sebagai menteri pembangunan luar bandar dan wilayah pada 2015.
Beliau juga digantung daripada Umno pada 28 Julai 2015 kerana mempersoalkan Perdana Menteri Najib Razak mengenai skandal kewangan yang melanda firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Shafie, yang menyambut ulang tahun ke-60 pada Jumaat lalu, meninggalkan Umno untuk membentuk Parti Warisan Sabah (Warisan).
Tetapi pembelotan daripada parti Melayu yang memerintah tidak menjejaskan kedudukan Shafie dalam masyarakat.
Kini, menjadi individu utama dalam penyiasatan terhadap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah dipimpinnya, Shafie, yang dibebaskan semalam selepas lapan hari direman, akan kembali di kampung halamannya untuk mengadakan protes.
“Bolehkah Umno merampas semula Semporna? Sudah pasti tidak,” kata bekas penjawat awam Ghulam Miralam.
“Orang di sini bersatu di belakang Shafie.”
Shafie pertama kali bertanding di kerusi Semporna pada 1995, memenangi 78% undi menentang Sabardin Ombrah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sejak itu beliau memenangi semua pilihan raya lain dengan majoriti yang gemilang.
Walaupun dibuang dari zon selesa politiknya dengan pembelotannya daripada Umno dan berdepan siasatan berhubung rasuah, Shafie dijangka meneruskan siri kemenangannya di Semporna.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Shafie pada 19 Oktober untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan yang diperuntukkan bagi projek luar bandar di Sabah.
Presiden Warisan itu diberi jaminan pada Jumaat dan tidak menghadiri pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Najib Razak di Dewan Rakyat petang semalam.
Tetapi ini tidak memberi kesan kepada rakyat Semporna, sebagaimana ditegaskan pemandu van carter, Asby Ismail.
“Shafie mempunyai reputasi kerana membantu rakyat,” kata Asby.
“Sebut sahaja ...beliau telah membantu orang muda di bandar ini masuk ke pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.
“Apabila seseorang meninggal dunia, anda tahu Shafie akan memberikan bantuan kewangan,” kata lelaki berusia 48 tahun tersebut.
“Kami mempunyai jalan raya, kami mempunyai bekalan elektrik walaupun tidak semua memiliki paip air.
“Beliau sudah membantu rakyat, yang kebanyakannya nelayan, dengan jeti, pembinaan bot dan membeli peralatan menangkap ikan.”
Sementara Shafie memegang kerusi Parlimen Semporna, dua daripada tiga kerusi DUN yang membentuk kerusi Parlimen masih dipegang oleh BN – Senallang dipegang oleh sepupunya Nasir Sakaran, dan Bugaya dipegang oleh Ramlee Marahaban yang merupakan timbalan ketua Umno Sabah.
Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong, menyertai Shafie.
Timbalan Ketua Penerangan Warisan, Hisham Fattah berkata pilihan raya akan datang “tanpa keraguan” memberi kemenangan kepada Shafie, mendakwa sebanyak 300 cawangan Umno di Semporna dibubarkan setelah ahlinya menyertai Warisan.
Walaupun kebanyakan penduduk di Semporna tetap teguh di belakang Shafie kerana menghormati hubungannya sejak sekian lama dengan penduduk bandar, kenaikan kos barangan turut menjadi faktor kerana kehidupan bertambah sukar bagi bandar yang menjadi pintu masuk ke syurga para penyelam di Pulau Sipadan, Mabul dan Mataking.
“Tidak mungkin saya menyokong kerajaan ini kerana mereka tidak membantu kami,” kata pemandu van Abdul Libad Muslad.
“Najib menyebabkan kehidupan kami susah.
“GST (cukai barangan dan perkhidmatan) menyukarkan saya. Kini semuanya mahal. “
Libad berkata beliau masih belum selesai membina rumah dua tingkatnya, yang dihiasi dengan bendera Warisan, kerana segala-galanya melibatkan kos termasuk harga paku.
“Kos makanan juga terlalu tinggi dan harga bahan api tidak menentu, seminggu naik, seminggu turun.
“Saya harap pilihan raya diadakan esok kerana saya tidak sabar untuk mengundi keluar kerajaan bodoh ini,” katanya. – 28 Oktober, 2017.
Komen