BRITAIN semalam menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Syria selepas siasatan pimpinan badan itu mendapati pasukan tentera kerajaan bertanggungjawab serangan gas sarin di Khan Sheikhun.
Pertubuhan Larangan Senjata Kimia PBB (OPCW) berkata, tentera udara Syria menjatuhkan bom di bandar yang ditawan pembangkang pada 4 April, melepaskan agen saraf maut yang membunuh lebih 80 orang.
“Tindakan tegas pihak antarabangsa kini penting terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi serangan Khan Sheikhun,” kata Duta Britain, Matthew Rycroft kepada wartawan.
“Ia kini terpulang pada Majlis Keselamatan untuk bertindak atas penemuan ini dan untuk memberikan keadilan.”
Britain sedang berunding dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai resolusi draf yang akan mengenakan sekatan terhadap Syria, kata duta itu.
Sekutu Syria, Rusia mempertahankan yang serangan sarin itu disebabkan oleh bom di darat dan bukannya dilepaskan oleh serangan udara Syria.
Tetapi analisi pakar gambar dan video kawasan serangan saris itu mendapati serpihan disebabkan oleh “bom besar” yang “dijatuhkan daripada ketinggian sederhana atau tinggi”, kata laporan itu.
Kajian selanjutnya di makmal juga mendapati gas sarin itu mungkin dihasilkan daripada simpanan bahan kimia kerajaan.
Kerajaan Syria menegaskan yang ia sudah tidak memiliki senjata kimia selepas perjanjian 2013 yang membuatkan mereka menghapuskannya.
Laporan itu turut mendapati yang militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) menggunakan gas mustard dalam serangan berasingan di bandar Um Hosh di utara Aleppo pada September 2016. – AFP, 28 Oktober, 2017.
Komen