AMK ketepi perbezaan demi kongres, kata Akmal Nasir


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Ketua AMK Akmal Nasir percaya angkata Pemuda PKR masih kuat walaupun pelbagai krisis melanda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Disember, 2019.

MESKIPUN berhadapan krisis dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketuanya Akmal Nasir membayangkan sayap parti itu akan terus bersatu dan bekerjasama.

Dalam ucapan aluan di Ayer Keroh, Melaka malam ini, Akmal berkata, asas penyatuan dalam AMK adalah dasar utama yang mengukuhkan mereka untuk mendepani cabaran masa hadapan.

“Malam ini sebagai aluan saya ingin mengajak teman AMK dan Wanita untuk melihat perjalanan kita sebagai sebuah parti yang amat memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya semalam bersama Biro Politik Khas sangat terharu bila pimpinan kita, presiden (Anwar Ibrahim) dan timbalan presiden (Mohamed Azmin Ali) duduk bersama dan berbincang, merungkai dan cari jalan bagaimana dapat bekerjasama memperkuatkan parti.

“Mungkin dalam tempoh beberapa bulan pendirian kami ada beza tapi dalam parti dan kongres kita ketepikan dan pastikan parti kita angkat bersama,” kata Akmal, di hadapan perwakilan Wanita dan AMK.

Ahli Parlimen Johor Baru itu turut mengingatkan perwakilan Pemuda PKR agar menjaga adab mereka ketika berkongres, dengan menyedari sejarah bahawa parti itu berasal dari jalan raya sehingga mampu menjadi kerajaan.

“Kita bina parti ini dari jalan raya sehingga sekarang di Putrajaya. Kita jaga adab dalam kongres dan pastikan berhujah sebaik-baiknya dan jangan hanya sekadar di kongres. 

“Biar selepas kongres apa yang diputuskan kita jadikan sebagai kerja rumah untuk kita bawa balik ke kawasan pastikan perkara yang dipersetujui dapat diketengahkan di tempat masing-masing,” kata Akmal lagi.

Hubungan Ketua AMK Akmal Nasir (kanan) dan Timbalannya Hilman Idham keruh kerana perbezaan kem dan pandangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

Krisis dalam AMK bermula sejak pemilihan parti yang pecah belah setahun yang lalu, dengan pertelagahan antara kumpulan yang diketuai Akmal dan Timbalannya Hilman Idham.

Akmal dan kumpulannya kemudian mengambil keputusan memecah tradisi dengan menjemput Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres. 

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis pimpinan sayap yang tidak dihadiri oleh Hilman dan kumpulannya, yang memang “memulaukan” mesyuarat sejak selepas pemilihan parti setahun yang lalu.

Susulan itu, kumpulan Hilman membuat bantahan dan memutuskan Azmin kekal merasmikan kongres AMK, manakala Dr Wan Azizah akan merasmikan majlis penutup.

Pengurusan parti bagaimanapun kemudian menetapkan perasmian kongres Pemuda dan Wanita PKR dibuat berasingan pada esok dan lusa, sebelum mesyuarat biro politik hari ini menukar keputusan awal itu.

Sementara itu, beberapa gegantung mengalu-alukan perwakilan ke kongres AMK di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) juga kelihatan hanya memaparkan wajah Hilman tanpa potret Akmal. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen