Projek penyeragaman pemikiran masyarakat


Buku ketujuh tulisan Faisal Tehrani, "Aku ____ Maka Aku Ada" kini diharamkan juga berlapikkan alasan-alasan yang tidak munasabah, keji dan bodoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

APAKAH perbezaan antara seorang yang membaca tulisan Mustafa Akyol dengan seseorang yang tersengguk-sengguk di “taman-taman syurga” mendengar kuliah tanpa melanjutkan kefahamannya dengan proses pembacaan?

Jawapannya, yang membaca seringkali mempunyai stamina mencabar normaliti sedangkan yang tidak, sentiasa bertindak dalam retorik kebenaran yang sebenarnya dipaksakan ke atasnya tanpa disedari.

Walaupun buku dianggap sebagai salah satu medium pencerahan, tetapi dalam dunia yang kelas minoriti menguasai kelas majoriti, buku turut dianggap sebagai material ancaman yang boleh menjungkirbalikkan pemikiran masyarakat.

Sebuah buku dianggap haram sekiranya sang penulis terkeluar dari kiblat yang digaris pandu negara dan lembaga-lembaganya.

Lalu tindakan terbaik bagi menyelamatkan ummah daripada terpalit lumpur kecelaruan dan hidup dalam keharubiruan adalah dengan mengharaman buku tersebut.

Buku halal

Soalannya sekarang, buku yang bagaimana halal untuk dibaca?

Jawapannya, buku yang tidak mempersoal dan membuka ruang mencabar status quo.

Buku-buku halal bukanlah buku yang menjahit fiksyen tentang sebuah perlawanan agung terhadap sistem dan aturan hidup masyarakat. Ia juga bukanlah buku yang dikarang bertujuan melawan dunia demi menegakkan sebuah cinta.

Selebihnya, tanpa elemen-elemen tadi, ia halal dan dipersilakan untuk dibaca.

Masalahnya sekarang, siapa yang menentukan “itu haram” dan “ini halal”?

Mengapakah menerusi autoriti mereka, bahan bacaan kita diatur, dipilih-pilih? Adakah ini pengertian sebuah kemerdekaan?

Apakah ini suatu keputusan yang terbaik buat kita? Bukankah tindakan “mereka” merugikan perjalanan kreativiti kita dalam menentukan sendiri yang mana kebenaran dan yang mana bukan?

Begitulah tanggungjawab negara dan lembaga-lembaganya.

Penyelamat ummah

“Mereka” (negara dan lembaganya) mengklaim diri sebagai penyelamat dan penjaga ummah. Menerusi proses demokrasi selekeh — pemilihan masyarakat terhadap kelompok elit bagi menentukan siapa tuan kepada siapa, masyarakatlah yang kerapkali tidak memiliki peluang berfikir dan membuat keputusan berdasarkan pilihan mereka sendiri.

Sampaikan urusan membaca dan menulis sebuah buku berlainan idea juga mesti melibatkan keputusan mereka.

Mengapa sampai begitu sekali?

Lucunya, negara menceritakan kesejahteraan yang berhasil daripada demokrasi. Sesiapa jua mempunyai hak memberi pandangan, kononnya mereka berhak mengkritik dan memiliki ruang seluas-luasnya menegakkan ideanya.

Kemunafikan demokrasi jajaan negara terlihat jelas saat sebuah buku dicetak bagi mencabar keabsurdan kondisi sosial, ekonomi dan peranan agama dalam konteks semasa.

Mana-mana idea, pandangan dan kritikan yang “aneh” dianggap berbahaya dan terpesong. Lihat contoh tulisan arwah Kassim Ahmad — sehingga kematian menjemputnya, Pak Kassim lebih diingati sebagai penolak hadis berbanding sebagai seorang yang membuka ruang kepada persoalan-persoalan hadis dalam kerangka zaman sekarang.

Benar, secara literalnya, penulis mempunyai hak menulis tentang apa sahaja. Akan tetapi, realitinya, saban tahun, Negara aktif mengharamkan banyak buku tanpa sebarang dialog, wacana bagi menjawab persoalan-persoalan baharu yang kritikal.

Yang tinggal hanyalah jawapan-jawapan klise “pengharaman buku ini diperlukan kerana kandungannya yang membahayakan pemikiran masyarakat”.

Buku ketujuh tulisan Faisal Tehrani, “Aku ____ Maka Aku Ada” kini diharamkan juga berlapikkan alasan-alasan yang tidak munasabah, keji dan bodoh.

Apa elemen kerosakan yang dipromosi dalam buku tersebut?

Adakah kerana sahabat karib Faisal berasal dari Denmark memberi senaskhah al-Quran terjemahan Danish kepadanya seperti yang dikarangnya di awal artikel buku tersebut?

Atau kerana dialog Faisal bersama seorang Melayu New York berkenaan Tuhan dan keimanan seorang Ateis?

Atau kerana Faisal meluahkan rasa sinisnya terhadap seorang ustaz yang memberi kuliah berkenaan “Hak Asasi Haiwan” yang kemudiannya pulang dari berkuliah menaiki sebuah kenderaan mewah?

Atau kerana nasihat Faisal terhadap anak kecilnya tentang kemestian mempersoal sesuatu kerana keimanan mesti dibentuk melalui proses merungkai persoalan, bukannya datang daripada pemaksaan?

Atau apa?

Apa yang menyebabkan bukunya diharamkan?

Merdeka dalam penjara

Yang sebenarnya, negara bertindak menyeragamkan minda dan pemikiran masyarakat. Mana-mana kritikan, pandangan, resistensi terhadap kebekuan kondisi sosial, kelemauan fungsi agama ataupun ketidakadilan ekonomi adalah salah di mata negara dan pemerintah.

Tiada sebab penulis bersikap kritis dalam menulis. Tiada sebab untuk mencerahkan masyarakat. Bahkan, pemikiran dan akidah masyarakat akan lebih selamat dengan membaca kisah putus cinta Emma Maembong dan Kamal Adli daripada menguliti sejumlah besar karangan fiksyen dan bukan fiksyen yang diterbitkan.

Penulis dibenar menulis dan masyarakat dibenar membaca. Asalkan, hasil tulisan itu melengkapi acuan keseragaman yang ditetapkan kelas penguasa.

Penyeragaman minda, pemikiran dan sikap, sesungguhnya merupakan sebuah penjara.

Di dalamnya ada ribuan,malah jutaan penghuni yang fesyen rambutnya sama, pakaiannya sama, selipar yang dipakai juga sama dan paling malang, jiwa mereka turut diseragamkan — mereka diajar untuk berperibadi baik supaya segera bebas namun yang bebas cumalah debu-debu pasir di luar jeriji.

Namun usaha mempertahankan kebebasan menulis menjadi sulit saat masyarakat penulis sendiri tidak menampakkan sikap saat ribuan buku diharamkan.

Barangkali, masyarakat penulis juga sudah teralienasi daripada peranan asal mereka; menulis untuk menggerakkan daya berfikir masyarakat dan menunjukkan solidariti ketika penulis lain dirampas haknya menulis dan bukunya diharamkan.

Mereka (masyarakat penulis) lebih gemar bersendirian dalam ruang privasi dan galak menulis demi membuktikan kepada publik yang tulisan merekalah yang lebih idealistik dan rebelius.

Disebabkan itu, kebrutalan pengharaman buku oleh kelas penguasa tidak mendapat sambutan dari seluruh kelas masyarakat dan kaum penulis sendiri.

Kita, akan berkeras menempik “kebebasan” pada waktu kita merasakan kebebasan milik kita dirampas.

Tetapi, di kala perampasan kebebasan milik orang lain berlaku, kita hanya mampu bertenang dengan meminum secawan teh panas.

Inilah bukti kemenangan negara dan kelas pemerintahnya.

Proses penyeramagan yang dijalankan itu bukan sahaja berjaya menyamaratakan pemikiran masyarakat tetapi kini, jati diri mereka hilang, jiwa mereka miskin dan mereka tidak pernah merdeka sama sekali.

* Hadri Shah adalah penulis buku Nasionalisme Longkang terbitan Thukul Cetak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen