Tiada bukti daulah terpendam dalam perkhidmatan awam, kata Liew


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong hari ini tidak ada bukti daulah terpendam dalam perkhidmatan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

TIDAK ada bukti daulah terpendam dalam perkhidmatan awam walaupun wujud tanggapan sebegitu dalam kalangan tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong hari ini.

Beliau berkata statistik tidak menyokong dakwaan adanya daulah terpendam kerana kebanyakan tindakan disiplin diambil terhadap penjawat awam adalah kerana tidak mencapai tahap ditentukan dan ada masalah sikap.

“Sehingga Jun tidak ada statistik yang menunjukkan kita ada penjawat awam yang tidak setia kepada negara ini, kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagaimanapun, persepsi tentang sabotaj dan daulah terpendam wujud dalam kalangan rakyat, katanya.

“Kerajaan berubah tetapi penjawat awam kekal.

“Ada persepsi daripada masyarakat awam terhadap penjawat awam. Tetapi persepsi itu tidak ketara. Maka, kita tidak dapat mentafsirnya dengan jelas,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee tentang bagaimana isu penjawat awam yang degil dan adakah benar persepsi tentang daulah terpendam dalam perkhidmatan awam.

Liew berkata Putrajaya akan terus memantau penjawat awam bagi memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan yang memerintah.

Katanya, tindakan disiplin akan diambil terhadap penjawat awam berkenaan yang bercanggah dengan dasar kerajaan.

Kes salah laku akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk siasatan. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen