PENTADBIRAN negara pada waktu ini kalut kerana Pakatan Harapan (PH) gagal menunjukkan kepemimpinan yang jelas, dakwa Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad.
Katanya, PH hanya memberi alasan “baru menjadi kerajaan” untuk menutup kelemahan padahal parti itu tidak tahu mentadbir kerajaan.
“Setelah satu tahun enam bulan PH menjadi kerajaan, kegagalan utama mereka adalah untuk memberikan satu kepimpinan yang jelas untuk memimpin negara.
“Kerajaan memberi pelbagai alasan. Kononnya mereka baharu lagi. Semua hendak disalahkan Barisan Nasional (BN). Sedangkan sendiri yang tidak tahu mentadbir,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini, Noraini turut membandingkan keupayaan kerajaan PH dengan pentadbiran Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden.
Katanya, kerajaan Arden lebih berjaya menangani isu sensitif seperti kejadian tembakan rambang ke atas penganut Islam di negara itu.
Namun kerajaan PH tidak berjaya menangani isu sensitif katanya yang membangkitkan kes abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara.
Turut dibangkitkannya adalah kes bendera dengan bintang lima bucu dalam satu kejohanan bola keranjang yang turut menimbulkan kontroversi.
Kelemahan kepimpinan negara telah menyebabkan ada kalangan yang mengambil kesempatan, mengambil peluang menimbulkan keadaan huru-hara dengan membawa masuk abu pengganas komunis.
“Begitu juga dengan Jalur Gemilang. Ada yang ditukar kepada warna putih hitam, ada yang diterbalikkan, dan terbaru Jalur Gemilang lima bucu,” katanya.
Oleh itu beliau menuntut kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap individu terlibat yang menurutnya cuba mengganggu keharmonian di negara ini.
“Kita perlukan titik noktah. Kita mahu kerajaan bertegas. Maaf sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Polis menyiasat individu yang mengaku membawa masuk abu mayat Chin Peng untuk ditabur ke laut dan di hutan bekas kawasan operasi tentera tersebut.
Bekas ketua polis negara Rahim Noor dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berpandangan perkara itu tidak harus menjadi isu kerana Malaysia sudahpun berdamai dengan PKM.
Isu mengenai bendera dengan bintang lima bucu itu bula melibatkan acara Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 yang menerima kecaman..
Persatuan Bola Keranjang Malaysia memohon maaf ke atas kesilapan tersebut yang menurutnya dilakukan oleh kontraktor. – 5 Disember, 2019.
Komen