Noraini seru PAU 2019 sokong pindaan naik taraf Wanita Umno


SM Amin

Sudah tiba masanya kepimpinan Wanita Umno diangkat lebih tinggi, sesuai dengan peranannya selama ini sebagai tulang belakang parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

WANITA Umno memohon Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 menyokong cadangan usul pindaan perlembagaan parti yang akan mengangkat ketua pergerakan sayap parti itu setaraf timbalan presiden Umno.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata, sudah tiba masanya kepimpinan wanita diangkat lebih tinggi, sesuai dengan peranannya selama ini sebagai tulang belakang parti.

Pada masa ini, ketua wanita Umno setaraf dengan naib presiden parti.

“Kita perlukan satu anjakan dalam politik. Sudah tiba masanya kepimpinan Wanita diiktiraf, diangkat dan diletakkan ke taraf yang lebih tinggi dalam parti.

“Justeru, saya meminta sokongan dan mandat daripada seluruh perwakilan yang hadir dalam himpunan ini, untuk menyokong agar Wanita Umno diberikan ruang untuk diangkat setaraf timbalan presiden Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Umno akan meminda perlembagaan parti pada perhimpunan tahun kali ini, yang pertama kali secara menyeluruh selepas parti tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Antara pindaan yang dicadangkan termasuklah menaik taraf peranan Wanita Umno di mana kedudukannya akan diletakkan setaraf timbalan presiden Umno dan bukan lagi sebagai pergerakan sayap parti seperti sebelum ini.

“Kami berjanji dan akan menggandakan usaha menjadi sebuah kepimpinan yang dapat membantu parti,” kata Noraini dalam ucapan yang bertajuk “Wanita Luar Biasa” itu.

“Saya percaya dengan langkah ini Wanita Umno akan terus diperkasa dan sekaligus memastikan parti ini terus dijulang dan kembali mendapat mandat rakyat,” katanya.

Noraini memimpin Wanita Umno menggantikan Shahrizat Abdul Jalil. Beliau menang pemilihan jawatan itu pada pemilihan Umno pada Jun 2018. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen