Jangan seronok sangat menang PRK, kata ketua Wanita Umno


SM Amin

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad menggesa ahli ambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Parlimen Sungai Besar yang dimenangi oleh BN tetapi tewas dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2019.

UMNO tidak boleh terlalu teruja dengan beberapa kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) tahun ini, kata Ketua Wanita Noraini Ahmad.

Katanya, ahli Umno perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Parlimen Sungai Besar yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar ketika PRK namun tewas dalam Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Jangan sekali-kali kita terlalu yakin dengan semua kemenangan ini. Saya mahu imbaskan kembali bagaimana kemenangan besar di PRK di Sungai Besar tetapi akhirnya kecundang dalam PRU. 

“Konsensus PRK dan PRU sangat berbeza. Mungkin kemenangan yang dikecapi oleh kita bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam PRK Sungai Besar yang diadakan pada Jun 2016, Barisan Nasional (BN) menang dengan 9,191 undi namun tewas dalam PRU14 tahun lalu dengan majoriti 714 undi.

Dalam siri PRK yang berlangsung tahun ini, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau yang ditandingi oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dan Parlimen Cameron Highlands. BN juga merampas dua kerusi milik Bersatu iaitu DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai.

Susulan itu, Noraini membentangkan tiga misi antaranya memperkukuhkan jentera parti, memperkukuhkan Muafakat Nasional dan siapsiaga hadapi PRU15 untuk Wanita Umno bergerak dengan cara kerja yang baharu.

“Saya mahu mengajak semua perwakilan dan akar umbi di luar sana untuk memulakan gerak kerja baharu yang lebih berfokus. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada persepsi dan andaian semberono. 

“Kita memerlukan satu gerak kerja yang lebih strategik dalam mendapatkan fakta lebih tepat terhadap sokongan yang diterima parti,” katanya.

Menurut Noraini, gerak kerja ini telah dirangka dalam Pelan Strategik Wanita Umno 2018-2021 dalam menjadikan ia lebih efektif sebagai sebuah gerakan parti pembangkang. – 5 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen