SATU manfaat daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tiga minggu lalu ialah pembukaan semula terminal feri antarabangsa, yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia, kata pengundi.
Terminal itu dibuka semula di tengah-tengah kerancakan kempen pilihan raya.
Pengundi memberitahu The Malaysian Insight, pembukaan semula terminal yang ditutup dua bulan sebelumnya menghidupkan semula kegiatan ekonomi terutamanya di Kukup, pekan nelayan dalam kawasan parlimen itu.
“Peniaga-peniaga amat lega apabila terminal feri ini kembali beroperasi.
“Kami kini boleh menjana kembali pendapatan selepas terjejas selama dua bulan seminggu,” kata operator tempat letak kereta Md Sanusi Abdullah.
Sanusi, 58, yang menguruskan lebih 100 tapak parkir kenderaan berhampiran terminal itu berkata, penutupan terminal feri mengakibatkan aktiviti perniagaan penduduk terjejas teruk sehingga 90%.
“Sepanjang tempoh penutupan itu, syarikat tempat saya bekerja terpaksa merehatkan dua daripada empat kakitangan kerana tak dapat pendapatan setimpal,” kata Sanusi.
Katanya, berbanding RM80 hingga RM100 kutipan sehari, syarikatnya hanya mampu mengutip RM80 seminggu, pada waktu itu.
Sanusi berkata beliau hanya menerima durian runtuh ketika program ceramah kempen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di terminal bas dan teksi Kukup.
“Waktu itu PH minta nak guna kawasan parkir saya, mereka bayar RM500 untuk program malam itu, dapatlah sedikit tambahan pendapatan daripada tiada langsung,” katanya.

Ketika penutupan terminal feri antarabangsa Kukup, operasinya dipindahkan sementara ke terminal feri antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
Namun begitu, pelawat lebih gemar menggunakan terminal feri antarabangsa Kukup untuk ke Tanjung Balai, Indonesia kerana jarak perjalanan yang lebih singkat di samping persekitaran jeti yang mempunyai pelbagai kemudahan.
Tambang bagi perjalanan dua hala pergi dan balik dari Kukup ke Tanjung Balai adalah RM125, manakala tambang dari Puteri Harbour bernilai RM126.
Perjalanan dari terminal feri antarabangsa Kukup hanya memakan masa kira-kira sejam berbanding hampir dua jam sekiranya pelawat menggunakan terminal feri antarabangsa Puteri Harbour.
Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal pada 7 November berkata, operasi terminal feri antarabangsa Kukup itu kini diserahkan kepada Perbadanan Awam Johor (PAJ).
Operasi terminal feri itu pada awalnya dijadualkan disambung semula pada 1 November, sehari sebelum proses penamaan calon PRK Tanjung Piai namun terpaksa ditunda seminggu kemudian.
Terminal feri antarabangsa itu juga dianggarkan menerima kira-kira 13,000 penumpang sebulan.
Seorang peniaga kedai serbaneka yang hanya mahu dikenali sebagai Ang berkata, pendapatannya kini semakin pulih beransur-ansur selepas lebih dua bulan hampir tiada pendapatan.
“Baguslah jeti kembali beroperasi, kalau tidak pendapatan saya terjejas hingga 90%, dua bulan kerja tidak ada gaji, tidak ada pelanggan,” katanya.
Penduduk tempatan, terutamanya anak-anak muda turut melihat kemungkinan pembukaan kembali operasi terminal itu peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan.
“Tengah tunggu juga kalau-kalau kata PAJ ada nak gunakan kakitangan, saya sedia hendak mohon.
“Sebab kakitangan syarikat konsesi lama pun tidak lagi diambil bekerja, mungkin ada peluang kami anak muda tempatan untuk dapat peluang kerja,” kata Zaharuddin Ithnin, 33.
Selain pembukaan semula operasi terminal feri, PRK Parlimen Tanjung Piai turut menyaksikan jalan-jalan menghubungkan Pontian Kechil ke Kukup dan kawasan Pekan Nanas dibaik pulih.
Sepanjang laluan berkenaan dapat dilihat turapan jalan yang baru menggantikan lubang di atas jalan yang merbahaya kepada pengguna jalan raya.
Namun begitu, rakyat di Parlimen Tanjung Piai mengharapkan kesemua projek pembangunan bernilai RM19 juta yang diumumkan kerajaan PH sepanjang tempoh kempen akan dilaksanakan walaupun pengundi kawasan itu memilih calon pembangkang.
“Saya pun tunggu juga projek berjuta yang diumumkan sewaktu kempen itu akan dilaksanakan ke tidak,” kata Ahmad Hamidi Mansor, 43, kepada The Malaysian Insight – 11 Disember, 2019.
Komen