Peruntukan luar bandar Sabah, Sarawak tidak cukup, kata Masing


Desmond Davidson

PERUNTUKAN RM500 juta untuk pembinaan jalan luar bandar dan RM300 juta untuk bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak yang diumumkan dalam Bajet 2018 itu baik tetapi tidak memadai, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing.

“Kita perlu minta lebih lain untuk tahun-tahun akan datang,” kata Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan hari ini.

Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM934 juta untuk membina jalan luar bandar dengan lebih daripada separuh iaitu RM500 juta bagi jalan di dua negeri itu manakala daripada RM420 juta yang diperuntukkan untuk menyediakan bekalan air bersih, RM300 juta adalah untuk Sabah dan Sarawak.

Belanjawan kali ini juga memperuntukkan dana untuk membina jalan raya menghubungkan empangan hidroelekrik Baleh yang terletak dalam kawasan Parlimen Kapit, yang diwakili oleh Masing.

Menurut Masing, belanjawan yang dibentangkan hari ini “mengajarnya satu perkara” tentang bagaimana meminta peruntukan.

Katanya, kalau Sarawak tidak merancang dan mencadangkan pembangunan infrastruktur yang dikehendakinya, “kita tidak akan dapat sebarang peruntukan dari Putrajaya untuk jalan dan jambatan”.

Pengajaran itu, katanya, ialah daripada peruntukan RM5 bilion yang diberikan untuk lebuh raya pantai baru dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang kini sedang dalam pembinaan.

Katanya, untuk beberapa tahun akan datang, negeri itu “mesti merancang untuk pembangunan infrastrukturnya”.

Yang menjadi perhatiannya ialah cadangan lebuh raya pesisir dan lebuh raya kedua yang dijangka menelan belanja RM5 bilion.

“Kalau kita tidak ada perancangan untuk jalan atau lebuh raya, macam mana kita hendak minta peruntukan seperti yang mereka minta di Semenanjung Malaysia?”

Walaupun wakil rakyat Barisan Nasional di dewan undangan negeri selalu membuat rayuan kepada Putrajaya untuk membiayai pembinaan lebuh raya pesisir dan lebuh raya kedua, Masing berkata, Sarawak masih belum membuat permohonan untuk sebarang peruntukan.

“Kita hanya buat penilaian kejuruteraan.

“Apabila kosnya diketahui, barulah kita akan buat permohonan.”

Mengenai RM1 bilion yang diperuntukkan untuk memperbaiki sekolah di Sarawak, Masing berkata Putrajaya “melalui Najib akhirnya mendengar” tuntutan Sarawak untuk pendidikan yang berkualiti.

Beliau memuji perdana menteri dan berkata sehingga Najib jadi perdana menteri “pendidikan di Sarawak telah diketepikan”.

Untuk membaiki lebih kurang 2,000 sekolah uzur di seluruh negeri itu, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi tempoh dua tahun. Daripada jumlah itu, RM500 juta untuk sekolah di Semenanjung Malaysia, RM1 bilion untuk sekolah di Sabah dan RM1 bilion di Sarawak.

Mengenai RM30 juta untuk mengukur tanah adat, Masing berkata ia menunjukkan “Putrajaya masih sensitif pada keperluan kita untuk mengukur tanah NCR dan dimiliki oleh pemilik yang sebenar.” – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen