Malaysia bukan negara untuk bereksperimen, kata Mat Hasan


SM Amin

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan ketika berucap merasmikan serentak perhimpunan agung tahun tiga sayap Umno – Pemuda, Wanita dan Puteri – di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Disember, 2019.

KEGAGALAN Pakatan Harapan melaksanakan janjinya 18 bulan selepas mentadbir negara adalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan kerajaan pada masa akan datang, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Beliau mendakwa PH gagal melaksanakan pembaharuan yang ia janjikan sehingga menyebabkan Malaysia kini menjadi sebuah “negara yang rapuh”.

Katanya, pentadbiran PH melemahkan kedudukan, pengaruh dan kekuasaan orang Melayu dan kedudukan Islam di Malaysia.

“Sungguh malu dan aib, bila mereka sering meminta masa, untuk ‘memperbaiki’ negara. Seakan-akan Malaysia, merupakan suatu eksperimen dalam tabung uji kaji, yang boleh dibuang jika ia gagal dan tidak menjadi.

“Malaysia bukan sebuah eksperimen sains. Tidak ada masa untuk dibazirkan. Setiap detik yang terbuang, setiap anak Malaysia yang akan menanggung ruginya,” katanya berucap merasmikan serentak perhimpunan agung tahun tiga sayap Umno – Pemuda, Wanita dan Puteri – di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Mohamad, kegagalan tersebut antara lain berpunca daripada sikap kepimpinan PH yang sibuk berebut kuasa termasuk kedudukan perdana menteri.

“Keutamaan mereka bukan menguruskan negara ini. Tetapi siapa yang bakal nak menjadi Perdana Menteri sehingga timbul, pelbagai perbalahan dalaman dan percakaran kuasa, yang sangat memalukan,” katanya.

Mohamad turut membidas sikap segelintir pemimpin Umno yang terpengaruh dalam perebutan kuasa tersebut yang beliau sifatkan hanya untuk kepentingan tokoh politik tertentu.

“Ada juga dari kalangan kita yang terikut-ikut, malah diperkudakan oleh kalangan tertentu, demi survival dan percaturan kedudukan politik tokoh terbabit,” katanya yang tidak menamakan mana-mana individu.

Umno kini mempunyai 37 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat daripada 54 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) selepas 17 daripadanya bertindak keluar parti.

Susulan itu kata Mohamad, Umno perlu menggerakkan usaha besar-besaran untuk menolak PH dengan menjadi agen semak dan kritik yang benar-benar efektif.

“Setiap ahli Umno boleh berperanan, secara bertanggungjawab dan beretika, untuk mencari pelbagai kelemahan, kegagalan dan kepincangan PH dan mendedahkannya, kepada semua rakyat Malaysia, melalui pelbagai medium media sosial.

“Cara kedua, kita mesti mengukuhkan Muafakat Nasional dengan menjiwai Muafakat Nasional, memperjuangkan ideanya, dan menjayakannya dengan pelbagai cara,” ujarnya.

Sejak September lalu, Umno menjalin kerjasama politik yang rasmi dengan PAS atas nama Muafakat Nasional sebagai persiapan menuju pilihan raya umum akan datang. – 4 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen