PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu kerajaan memberikan diskaun bulanan bagi membantu mereka menyelesaikan hutang tertunggak pinjaman itu, bukannya menawarkan diskaun pada bayaran penuh seperti yang diumumkan melalui Bajet 2018.
Mereka menyifatkan diskaun untuk bayaran penuh pinjaman yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak hari ini tidak akan membantu mereka menyelesaikan pinjaman kerana keadaan ekonomi semasa menyebabkan mereka memang tidak mampu membayarnya sekali gus.
Ravinsa, 25, mencadangkan diskaun bulanan sekurang-kurangnya 10% bagi peminjam yang membayar balik hutang secara konsisten.
“Saya sambut baik diskaun 20% kalau bayar penuh tetapi itu hanya orang bergaji besar saja boleh bayar. Sekarang kos sara hidup bukan rendah. Semua komitmen tinggi.
“Lebih baik kerajaan beri diskaun bulanan untuk kurang beban kami. Itu lagi penting.
“Siapa saja yang boleh bayar penuh pinjaman, berapa ramai yang boleh langsaikan hutang penuh?” kata guru swasta itu kepada The Malaysian Insight.
Ravinsa mempunyai baki pinjaman sebanyak RM48,000 dan perlu membayar RM400 sebulan dalam masa 10 tahun.
Semasa membentangkan Bajet 2018 petang tadi, Najib mengumumkan lanjutan tempoh diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama setahun hingga 31 Disember, 2018.
Bajet 2018 menawarkan tiga insentif diskaun kepada peminjam PTPTN, iaitu diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 10% untuk bayaran sekurang-kurangnya separuh daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji mengikut jadual bayaran balik ditetapkan.
Zulaiha Abdul, 24, yang baru enam bulan bekerja berkata beliau tidak fikir akan dapat menikmati diskaun 20% itu kerana tidak mampu melangsaikan hutangnya itu sekali gus memandangkan gajinya tidak sampai RM2,000 sebulan.
“Macam mana nak langsaikan penuh. Saya hutang puluh ribu (ringgit). Sekarang gaji saya lepas tolak semua dapat RM1,600 bersih.
“Dengan gaji macam ini macam mana untuk kumpul bayar PTPTN. Sementara nak kumpul dan bayar, caj pentadbiran masih berjalan. Baik mereka beri diskaun bulanan,” katanya, yang perlu membayar RM300 sebulan dengan pinjaman hampir RM30,000.
Poh Sang, 30, yang menyara hidup sebagai peniaga, berpendapat kerajaan perlu menghapuskan kos pengurusan pinjaman yang membebankan.
“Saya buat bisnes. Saya takkan bayar penuh, lebih baik bayar bulan. Kerajaan patutnya hapuskan kadar faedah. Inikan wang untuk belajar.
“Pinjam PTPTN umpama macam kad kredit. Kalau kamu tak bayar sebulan kadar faedah berjalan. Janganlah buat untung macam itu,” katanya.
Pada Ogos lalu, peminjam PTPTN menggesa badan itu supaya menghapuskan caj pentadbiran hutang dan menyifatkan caj satu hingga tiga peratus itu sebagai amalan riba serta meningkatkan jumlah hutang sekiranya mereka gagal membayar ansuran yang sepatutnya.
Bagaimanapun, Pengerusi PTPTN Shamsul Anuar Nasarah enggan menghapuskannya kerana caj itu mematuhi syariah seperti yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan lebih separuh daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam PTPTN.
Pada Oktober 2016, diskaun bayaran penuh kepada memberi manfaat kepada 137,609 peminjam, lapor Sinar Harian.
Mengikut statistik, diskaun 10% layak dinikmati 131,582 peminjam, manakala bagi kategori diskaun 10% bayaran minimum 50% membabitkan 1,025, manakala diskaun 15% ke atas bayaran penuh dinikmati 5,002 peminjam. – 27 Oktober, 2017.
Komen