TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hadir mesyuarat biro politik buat pertama kalinya sejak menang dalam pemilihan parti tahun lepas.
Beliau turut memberikan jaminan akan hadir pada kongres parti, tetapi tidak menyatakan sama ada akan pergi ke kongres di Melaka atau di Kuala Lumpur.
“Saya akan bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan kita akan bincang kedudukan parti dan kongres yang akan berlangsung esok.
“Dan kita juga bincang beberapa perkara penting,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen, hari ini.
Azmin dilihat hadir di bangunan Parlimen kira- kira jam 6.15 petang. Beberapa orang pemimpin PKR seperti Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Amirudin Shari dan Rashid Hasnon turut kelihatan.
Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan pendedahan dibuat sumber parti yang Azmin menerima arahan kepimpinan atasan parti untuk hadir mesyuarat.
Biro politik akan mengadakan pertemuan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen.
Ketidakhadiran berterusan Azmin pada mesyuarat parti dipercayai kerana ketegangan hubungannya dengan Anwar.
Sumber lain berkata Anwar juga akan mengambil peluang jika Azmin datang, untuk mengadakan mesyuarat tertutup berasingan bagi meleraikan perbezaan mereka yang menyebabkan perpecahan dalam parti.
Sumber berkata hasil pertemuan tertutup itu akan menentukan sama ada kongres PKR “alternatif” yang dirancang penyokong Azmin, saingan kepada kongres nasional di Melaka, akan diteruskan atau tidak. – 4 Disember, 2019.
Komen