RAJA Thailand Raja Maha Vajiralongkorn hari ini berangkat mengambil relik dan abu mendiang ayahandanya Raja Bhumibol Adulyadej di Krematorium Diraja di kawasan upacara persemadian Sanam Luang.
Baginda yang berangkat tiba di krematorium itu pagi tadi memberi penghormatan ke atas relik dan abu diraja tersebut sebelum merenjis air bau-bauan ke atasnya.
Relik dan abu diraja itu kemudian dimasukkan ke dalam kendi emas dan dipindahkan ke Pavilion Diraja Dharma yang terletak di dalam Sanam Luang. Di situ, raja, keluarga diraja dan orang-orang kenamaan melakukan ritual pengebumian yang diketuai sami-sami Buddha kanan.
Selesai upacara, kendi emas mengandungi relik dan abu mendiang Raja Bhumibol dibawa ke Dewan Singgahsana Dusit Maha Prasard di Grand Palace dalam satu lagi upacara yang diketuai oleh Raja Maha Vajiralongkorn sendiri dan anggota keluarga diraja.
Dalam upacara yang hampir sama dengan upacara persemadian semalam, raja, dua puteri dan anggota keluarga diraja berjalan perlahan-lahan di belakang kendi emas yang diletak di atas pedati khas diusung oleh anggota tentera berseragam istiadat diiringi antaranya muzik-muzik kegemaran mendiang raja itu.
Puluhan ribu rakyat yang berpakaian serba hitam bersujud tatkala perarakan diraja itu bergerak perlahan menuju ke Grand Palace.
Pada Ahad ini, relik dan abu mendiang Raja Bhumibol akan dimakamkan di Wat Rajabopidh dan Wat Bovoranives yang terletak berhampiran, menandakan berakhirnya upacara persemadian diraja.
Sementara itu, upacara pembakaran jenazah lewat malam tadi sepatutnya disiarkan secara langsung oleh TV Pool namun dibatalkan secara mendadak dan anggota media yang berhimpun di Sanam Luang bagi membuat liputan upacara tersebut diminta beredar.
Tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut.
Ribuan rakyat yang berkabung dan berhimpun di laluan pejalan kaki berhampiran Sanam Luang yang menempatkan Krematorium Diraja melihat kepulan asap dari lokasi berkenaan pada kira-kira 11 malam waktu tempatan, menandakan perjalanan pulang mendiang raja ke ‘syurga’ menurut ajaran Buddha akhirnya bermula.
Kebanyakan rakyat dilihat menitiskan air mata, melutut dan bersujud sambil berdoa ketika upacara pembakaran jenazah mendiang raja yang mereka sayangi itu berlangsung, setahun selepas baginda mangkat pada 13 Oktober tahun lalu selepas memerintah Thailand selama tujuh dekad. – Bernama, 27 Oktober, 2017.
Komen