KOREA Utara pada Jumaat berkata pihaknya akan membebaskan kru nelayan dan bot mereka ebagai satu isyarat kemanusiaan di saat ketegangan memuncak di Semenanjung Korea.
“Bot nelayan 391Hungjin dan krunya ditahan di perairan timur Korea Utara pada Sabtu kerana menceroboh perairan di bawah kawalan Korea Utara,” lapor agensi berita KCNA.
Kru bot nelayan terbabit mengakui dengan sengaja menyeberangi sempadan untuk menangkap ikan, dakwa KCNA dan menambah Korea Utara bagaimanapun memutuskan untuk menghantar mereka pulang atas dasar kemanusiaan.
Korea Utara bertindak demikian selepas mengambil kira “kesemua kru terbabit mengakui kesalahan mereka, dan berulangkali memohon maaf dan meminta kelonggaran,” kata KCNA.
Bot dan kru terbabit diserahkan kepada Korea Selatan sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, katanya. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar kru yang menaiki bot terbabit.
Kerajaan Korea Selatan mengesahkan laporan itu dan mengalu-alukan langkah Korea Utara.
“Kami bernasib baik kerana bot nelayan dan krunya dikembalikan semula,” kata jurucakap kementerian penyatuan Seoul menangani hal ehwal Korea Utara.
Bot nelayan Korea Utara sebelum ini sering merentasi sempadan laut dan dihantar pulang semula oleh Seoul, namun ini merupakan kali pertama bot dari Korea Selatan dihantar pulang sejak 2010, kata jurucakap itu.
Sepanjang 1960 dan 1980, Korea Utara dipercayai menculik ramai nelayan Korea Selatan dan orang awam Jepun dan mempergunakan mereka sebagai tutor bagi melatih pengintip Utara untuk dihantar ke luar negara.
Ketegangan memuncak pada tahun ini selepas Utara melancarkan ujian nuklear keenamnya dan melancarkan peluru berpandu yang boleh mencapai Amerika Syarikat, dan pemimpinnya Kim Jong-un mengancam untuk berperang dan sering memprovokasi Presiden AS, Donald Trump. – AFP, 27 Oktober, 2017.
Komen