RAKYAT Johor belum tentu akan menukar kerajaan walaupun Barisan Nasional (BN) menang besar dan bergaya dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini, kata pengundi di negeri itu.
Sentimen beberapa pengundi yang ditemui The Malaysian Insight membayangkan keputusan pilihan raya kecil itu tidak menggambarkan keadaan sebenar suasana politik di Johor secara keseluruhan.
Mereka percaya Pakatan Harapan (PH) masih perlu diberi peluang kerana mandat rakyat masih ada lagi kira-kira tiga tahun sebelum pilihan raya akan datang.
“Kita bukan marah kerajaan, kita cuma rasa sedikit tidak senang dengan beberapa tindakan mereka selepas memerintah,” kata Ng Jeck Sai, yang tinggal di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.
Ng, 52, seorang pemilik kilang besi, berkata beberapa dasar kerajaan PH hari ini menekan peniaga sepertinya sehingga timbul rasa marah kerana pendapatan mereka terjejas.
“Sekarang siapa pun kerajaan sama sahaja, keadaan ekonomi teruk.
“PH masih ada tiga tahun lagi, kita bagi peluang. Kalau masih tiada perubahan kita tunggu PRU15,” katanya, kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui baru-baru ini.
Johor adalah antara negeri yang tidak lagi ditadbir oleh BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). BN kini hanya menguasai Perlis dan Pahang, sementara Kelantan dan Terengganu di bawah PAS dan Sarawak ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti politik bekas komponen BN.
Selepas menjalin kerjasama politik atas nama Mufakat Nasional, Umno dan PAS menjangkakan mampu membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang dengan menawan lapan negeri.
Johor bagaimanapun tidak ditetapkan sebagai negeri sasaran, bersama Perak, Kedah, Melaka, dan Negeri Sembilan, yang akan menjadi tambahan kepada Pahang, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Pada masa ini, BN dan PAS menguasai 17 daripada 56 kerusi di dewan undangan negeri di Johor.
Sementara itu, seorang pengundi di Tanjung Piai yang mahu dikenali sebagai Oh berkata, PH perlu diberikan peluang memandangkan tempoh pentadbiran mereka masih baru jika dibandingkan dengan 60 tahun pentadbiran BN.
“Nak tukar kerajaan kita tak tahu lagi… siapa tahu dalam tiga tahun ini mereka boleh buat rakyat senang, mungkin kita beri PH kekal memerintah,” kata Oh, 40, seorang pemilik perniagaan kelapa sawit ketika ditemui di Pekan Nanas.
Seorang kakitangan awam Saiful Anwar, 35, pula melihat tiada isu khusus bagi rakyat Johor yang memungkinkan untuk mereka menukar pemerintahan PH di negeri itu kepada parti lain.
Katanya, kebanyakan isu berbangkit ketika kempen politik di Tanjung Piai tempoh hari adalah masalah nasional.
“Saya secara peribadi berpuas hati dengan prestasi kerajaan hari ini, tiada isu-isu besar di peringkat negeri dan kami selaku penjawat awam tidak melihat wujudnya masalah dari segi pentadbiran negeri.
“Keputusan di Tanjung Piai bagi saya tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan keadaan politik di Johor, itu kes istimewa,” katanya, ketika ditemui di Bandar Baru Uda.

Dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November lepas, calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi, menambah malah majoriti ketika beliau pertama kali menang kerusi itu pada 2008.
Dalam pada itu, seorang lagi kakitangan awam Muzaffar Yusupah, 32, pula melihat terlalu awal bagi pihaknya untuk menilai prestasi PH memandangkan parti itu baru memerintah hampir dua tahun.
“Kita faham ada kekangan tertentu daripada pihak kerajaan, mereka baru memerintah dua tahun macam mana nak puaskan hati semua orang,” kata kakitangan pihak berkuasa agama Islam Johor itu.
Bagi rakyat berpendapatan rendah, tekanan kehidupan, isu seharian yang mencengkam mereka menyebabkan PH menjadi sasaran mudah untuk dipersalahkan.
“Anak saya di matrikulasi Muar sudah tiga hari telefon minta duit belanja makan tapi saya tak mampu bagi, saya juga baru pindah rumah sebab tak mampu bayar sewa RM1,000 sebulan,” kata Omar TH Kamati, 50.
Peniaga kelapa dan pau di kaki lima rumah kedai di Bandar Baru Uda berkata, perniagaannya semakin tenat sejak dua tahun lepas.

Memburukkan keadaan katanya, pihak berkuasa tempatan juga setiap hari menjalankan penguatkuasaan sehingga sukar baginya untuk meneruskan perniagaan.
“Sehari biasanya saya boleh jual 100 biji kelapa, sejak dua tahun lepas, 50 biji pun susah, kuasa beli orang dah tak macam dulu.
“Orang Singapura pun tidak lagi berbelanja besar macam dulu, sedangkan nilai ringgit kita turun,” katanya.
“Kalau PH terus memerintah, keadaan ekonomi masih macam ini mati kering saya,” kata bapa kepada empat anak itu.
Ah Wee, 32, berkata, situasi ekonomi semasa turut menjadikannya mangsa apabila hilang punca pendapatan sebagai pekerja kontraktor binaan.
“Mana-mana kerajaan pun sama juga, kita orang bawah kerja pun susah. Saya sudah sebulan tidak kerja. Kerja kontrak buat rumah dulu gaji sehari RM50, sekarang RM60 tapi tidak ada kerja.
“Nak masuk kerja dekat Singapura pun mereka tak ambil orang lagi. Kawan- kawan saya yang kerja di sana pun dah ramai balik Malaysia. Mereka pun mula buang orang,” katanya, yang ditemui di Nusa Bestari. – 4 Disember, 2019.
Komen