SATU letupan meletus di kawasan Monumen Nasional (Monas) di tengah Jakarta pagi ini, dipercayai berpunca dari sebuah telefon genggam, lapor media di Indonesia.
Kejadian pada lebih kurang 7 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) disahkan pegawai kanan polis metro Jakarta Pusat, lapor CNN Indonesia.
Ketua Polis Daerah Metro Jaya Gatot Eddy Pramono dipetik CNN Indonesia berkata kejadian menyebabkan dua anggota tentera yang sedang bersenam di kawasan Monas cedera.
Mereka dihantar ke hospital untuk rawatan.
Beliau juga dipetik berkata letupan itu tidak ada kaitan dengan aksi keganasan dan tidak memerlukan penambahan kawalan keselamatan.
Media bagaimanapun melaporkan pihak berkuasa disertai anggota tentera meningkatkan kawalan di tempat kejadian.
Mereka juga menutup kawasan di tempat kejadian kepada wartawan.
Kejadian berlaku sehari selepas acara peringatan ulang tahun kedua protes rakyat pada 2 Disember 2017 mendesak hukuman ke atas bekas gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok kerana dakwaan menghina agama.
Perhimpunan itu berlangsung di Monas setelah gabenor ketika itu Anies Baswedan membatalkan larangan perhimpunan berbentuk keagamaan di kawasan tugu peringatan tersebut. – 3 Disember, 2019.
Komen