POLIS akan memanggil R Sivarasa untuk siasatan berhubung dakwaan timbalan menteri itu mengenai pengaruh daulah terpendam dalam kerajaan.
Ia berkaitan kenyataan pemimpin PKR itu yang menyalahkan daulah terpendam di sebalik penahanan dua wakil rakyat yang dikaitkan dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan polis akan merakam kenyataan Sivarasa.
“Semua individu yang berkaitan akan dipanggil beri keterangan, termasuk Sivarasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Setakat ini polis sudah merakam kenyataan seorang wartawan dan menjangka akan memanggil individu lain termasuk Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
“Ya, kami akan panggil (lebih ramai lagi) seorang demi seorang. Kami panggil sesiapa yang perlu, yang berkenaan, untuk menyelesaikan siasatan,” katanya.
Sivarasa pada minggu lalu memberitahu The Malaysian Insight, keputusan mendakwa 12 individu yang dikaitkan dengan LTTE itu dibuat oleh daulah terpendam dalam Jabatan Peguam Negara.
Beliau mendakwa demikian kerana keputusan menuduh 12 individu tersebut dibuat ketika Peguam Negara Tommy Thomas berada di luar negara.
Santiago pula mendakwa polis memberi layanan lebih baik kepada individu didakwa terlibat dengan Daesh dan tidak membenarkan individu dikaitkan dengan LTTE diikat jamin. – 2 Disember, 2019.
Komen