WATSON Nyambek tetap mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap tindakan biadab pengacara rancangan komedi terbitan Primeworks Studios yang disiarkan di TV3 baru-baru ini kerana mempersendakan mendiang bapanya.
Bekas pelari pecut negara itu membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri kira-kira jam 10 pagi tadi ditemani isterinya Felliza Michael Samdon serta lebih 20 individu yang mewakili 10 NGO.
Watson, 41, berang selepas pengacara rancangan bertajuk ‘Sukan Tak Sentral’ yang disiarkan pada Sabtu lalu, seolah-olah mengejek nama bapanya.
Dilaporkan beliau tidak menonton rancangan itu tetapi diberitahu oleh isterinya yang pengacara program berkenaan, Azizul Ammar Abu Hassan menyebut nama keluarganya dengan membuat bunyi seperti kambing.
Walaupun Primeworks Studios sudah membuat permohonan maaf, Watson tetap membuat laporan polis.
“Ia mengaibkan keluarga kami dan saya sangat marah. Cara mereka menyebut nama itu seolah-olah mereka membandingkan bapa saya dengan haiwan,” katanya kepada wartawan.
Program televisyen itu diacarakan secara bersama Azizul dan Marsha Milan Londoh.
Watson yang kini bertugas sebagai jurulatih di Majlis Sukan Negara berkata beliau membuat laporan polis untuk meminta pihak berkuasa menyiasat motif sebenar tindakan pengacara itu berbuat demikian.
Katanya, beliau mahu tindakan dikenakan terhadap pengacara terbabit dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman menuntut ganti rugi.
The Borneo Post semalam melaporkan Watson berkata beliau melihat kejadian itu sebagai penghinaan dan provokasi mencetuskan ketegangan kaum dengan memperkecilkan nama kaum Iban.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Ahmad Izham Omar dalam surat permohonan maaf kepada Watson mengakui kesilapan itu dan berjanji perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi.
Izham berkata beliau mengingatkan kakitangannya mengenai sensitiviti tempatan dalam program yang diterbitkan dan studio akan menyemak semula prosedur operasi standard mereka bagi mengelak insiden seperti itu berulang.
Watson atau gelarannya si Dayak Terbang, memegang rekod kebangsaan 100m iaitu 10.30 saat selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s pada Sukma Sarawak tahun lepas.
Beliau diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya yang menderita barah telinga.
Tahun lalu, bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyelamatkannya daripada bankrap selepas kerajaan negeri membayar balik tunggakan pinjaman sebanyak RM80,000. – 24 April, 2017.
Komen