BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein menyifatkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020-2030 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini tidak fokus dalam memperincikan bentuk pelaksanaan bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata ia sebaliknya hanya ringkasan daripada apa yang pernah beliau bentangkan dalam buku Ikrar Kementerian Pertahanan tahun lalu.
“Intipati KPP hanyalah versi ringkas apa yang telah dibentangkan oleh Barisan Nasional semasa memerintah. Buku Ikrar Mindef ketika itu memperincikan pelbagai bentuk inisiatif yang akan dilaksanakan di dalam enam teras Kementerian Pertahanan.
“Manakala KPP pula, tidak pula memperincikan perancangan Mindef bagi 2020 hingga 2030,” katanya ketika membahaskan pembentangan KPP di Dewan Rakyat hari ini.
Ikrar Kementerian Pertahanan merupakan buku mengumpulkan segala inisiatif bagi memastikan apa yang direncanakan dalam hala tuju tersebut dapat direalisasikan.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini membentangkan dasar pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun seterusnya bagi tujuan melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.
Menurut Hishammuddin, KPP yang dibentangkan seharusnya mampu memberi keyakinan kepada bukan sahaja pihak berkepentingan seperti warga ATM, veteran dan keluarga masing-masing tetapi juga dunia.
“Kalau kita tengok perolehan aset, ia hanya menyenaraikan wishlist. Apabila diselak bahagian pelaksanaan KPP, tidak pula diperincikan kaedah untuk melaksanakan perolehan aset ini.
“Perincian KPP bukan hendak tunjukkan kekuatan ketenteraan kita, tetapi sekurang-kurangnya memberi keyakinan bahawa kita mempunyai perancangan.
“Kita mahu tunjuk kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia mengambil serius soal keselamatan negara,” ujarnya.
Tambah Hishammuddin, kritikan beliau terhadap KPP bukan hendak memperlekehkan usaha dibuat pegawai kementerian, tetapi memperbetulkan segala kelemahan yang ada. – 2 Disember, 2019.
Komen