Tindakan tegas jika buat kongres berasingan, kata PKR


SM Amin

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata parti boleh ambil tindakan terhadap pemimpin parti yang cuba mengadakan kongres secara berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

PKR boleh mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin parti yang cuba mengadakan kongres secara berasingan kata ketua penerangannya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul berkata PKR akan memerhati perkembangan itu ekoran khabar angin bahawa penyokong timbalan presiden Azmin Ali akan mengadakan kongres berasingan di ibu kota.

“Kongres parti di mana-mana pun tetap ada satu saja perhimpunan. Tidak boleh ada dua perhimpunan. Kita tunggulah, mungkin kadang-kadang acah saja.

“Jika berlaku, kita akan ambil tindakan mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan parti,” katanya kepada petugas media di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, PKR hanya akan bertindak sekiranya kongres berasingan itu benar-benar berlaku.

Kongres berasingan itu didakwa akan diadakan sebagai tanda protes ke atas Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung isu yang berlarutan sejak pemilihan parti tahun lalu.

Selain itu, timbul dakwaan kumpulan dalam sayap pemuda PKR akan melancarkan usul undi tidak percaya ke atas Anwar, yang turut ditangkis oleh Shamsul sebagai satu gertakan semata-mata.

“Kita teliti setiap mesyuarat agung telah pun sempurna diadakan, dan tidak ada satu pun usul yang berkaitan perkara ini.

“Ini hanyalah usul saat akhir yang teringat baru nak cakap, jadi ini saja acah saja,” kata, menjelaskan tiada sebarang usul sedemikian dibangkit dalam mesyuarat cabang setakat ini.

Ia turut disahkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang menegaskan usul untuk dibahas di kongres hanya boleh diangkat di Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-cabang.

“Saya difahamkan setiausaha pengelola untuk Pemuda PKR maklumkan tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap presiden daripada sayap Pemuda PKR dan saya boleh sahkan bagi cabang-cabang juga tiada usul sedemikian.

“Maka untuk kongres ini tidak timbul usul undi tidak percaya dari Cabang-cabang yang hantar laporan mesyuarat agung tahunan masing-masing. Malah tarikh akhir untuk hantar usul telah tamat,” katanya.

Sekumpulan pemimpin Pemuda PKR dilaporkan mahu menggerakkan usul tersebut bagi menuntut Anwar memohon maaf atas keputusan parti memecat beberapa ahli baru-baru ini.

Kumpulan dipimpin Naib Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Nazrin Idham Razali itu mendakwa pemecatan itu tindakan “mencantas” barisan pemimpin yang menyokong Azmin.

PKR minggu lalu memecat anggota Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Hamid dan seorang lagi ahli Ismail Dul Hadi atas dakwaan melakukan rasuah semasa pemilihan parti tahun lalu.

Kongres Nasional PKR akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen