Polis siasat wakil rakyat DAP kes acara bekas pengganas komunis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis sudah mulakan siasatan perhimpunan kumpulan bekas pengganas Parti Komunis Malaya di Kajang semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

POLIS menyiasat perhimpunan memperingati perjanjian damai kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata polis Cawangan Khas Bukit Aman turut menyiasat tujuan kehadiran Adun Sungai Pelek Ronnie Liu ke perhimpunan di Kajang semalam.

“Katanya, dia ada berkongsi mengenai bapa atau datuknya yang terbabit dalam PKM. Jadi kena siasat sekarang apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Muhyiddin berkata polis menyiasat sama ada perhimpunan itu diadakan secara terbuka dan sekiranya ia dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Saya kena tunggu laporan itu dulu sebelum tentukan apa-apa tindakan yang wajar diambil. Saya harap siasatan boleh selesai dalam minggu ini,” katanya.

Perhimpunan di Kajang semalam dilaporkan dihadiri kira-kira 300 orang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya.

Parti berkenaan dibubarkan selepas perjanjian damai tersebut.

Turut dilaporkan hadir dalam perhimpunan kira-kira 300 orang di Kajang itu adalah veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perkembangan berkaitan PKM itu tidak boleh dipandang ringan dan memberi amaran semangat komunisme tidak boleh digalakkan.

“Setahu saya perhimpunan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini malah jika ada pun orang ramai tidak tahu mengenainya.

“Jadi, sekarang polis akan siasat sama ada ia bertujuan untuk meraikan Perjanjian Hatyai saja atau usaha untuk hidupkan semula komunisme yang lampau. Kita tidak perlu hal sebegitu di negara ini.

“Memang negara kita sudah bebas merdeka dan semua pihak bebas untuk berhimpun tetapi semangat seperti itu tidak boleh digalakkan dan tidak perlu dibangkitkan,” katanya.

Turut menimbulkan kontroversi minggu lalu adalah tindakan waris Chin Peng membawa pulang abu mayat pemimpin PKM itu.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen