Golongan miskin jangan harap pada kerajaan saja, kata PM


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Disember, 2019.

GOLONGAN miskin diminta untuk tidak menunggu bantuan kewangan daripada kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya kata Dr Mahathir, mereka perlu berusaha dan mencari jalan untuk menambah pendapatan mereka.

“Kita (kerajaan) tidak boleh tangani kemiskinan dengan memberikan wang kepada golongan miskin. Ini tidak akan membantu mereka keluar daripada kemiskinan. Sekiranya kita terus beri mereka wang, mereka akan selamanya miskin.”

“Cara terbaik untuk mereka ialah mereka perlu menerima idea dan cadangan kerajaan. Kerajaan boleh membantu mereka dengan menyediakan modal untuk memulakan perniagaan dan kita boleh berikan kursus latihan.”

“Tetapi mereka perlu bekerja keras untuk menaikkan taraf hidup mereka. Bukan dengan mendaapatkan BR1M atau duit percuma,” kata Dr Mahatahir pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menyedari jurang antara golongan miskin dan kaya di negara ini.

Beliau berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan perbezaan jurang ini.

“Kita sedar yang kita tidak boleh jadi negara maju sekiranya jurang terdapat jurang antara golongan kaya dan miskin. Malah, kita merupakan negara berbilang kaum. Sekiranya terdapat satu kaum yang lebih maju ke depan berbanding yang lain, masalah akan timbul.”

“Itu sebabnya kita perkenalkan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama agar kita boleh bersama-sama maju ke hadapan sebagai sebuah negara,” katanya.

Dr Mahathir turut menggesa penjawat awam untuk memainkan peranan dalam menasihati golongan ini bahawa mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

“Saya harap semua di sini boleh beritahu dan nasihat golongan miskin berhubung cara untuk meningkatkan taraf hidup mereka agar kita boleh menjadi negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

“Sekiranya kamu mahu berjaya, kamu perlu usaha dapatkannya. Tiada yang percuma dala dunia ini,” tambahnya. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen