PH tempuhi jalan sukar jika teruskan rombakan kabinet


MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat pada 22 November 2019, tidak menolak kemungkinan akan berlakunya rombakan kabinet pada tahun hadapan. Desakan ini lebih kuat selepas prestasi PH merosot pada Pilihan Raya Kecil  (PRK) Tanjung Piai pada 16  November lalu.
 
Sejujurnya, saya tidak tahu mengapa PH membuat keputusan tersebut untuk menyelesaikan kemelut pemerintahan mereka. Kemarahan rakyat tidak boleh menjadi alasan tunggal dalam hal ini, sebaliknya terdapat data menunjukkan PH masih berada di landasan yang betul.
 
Setelah hampir setahun memerintah, PH telah membawa pelbagai perubahan dan membetulkan imej negara. Kajian Merdeka Center pada Jun 2019 mendapati  40% responden yang terdiri daripada pengundi berbeza latar belakang melihat PH berada di landasan yang betul berbanding 34% pada bulan Mac 2019.
 
Saham FGV mencatatkan peningkatan 100%, Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM 36.4 bilion , dan Tabung Haji juga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM 500 juta suku ketiga 2019. Semua kejayaan ini berlaku kerana dasar kerajaan dan komitmen PH melakukan reformasi institusi selepas ia dirosakkan kerajaan BN selama ini.

Tetapi, fakta dan kejayaan ini tidak dijadikan panduan oleh pimpinan PH. Akhirnya, emosi orang awam telah menyebabkan PH dilihat lemah dari semua sudut sehingga PH bersetuju jemaah menteri dirombak.  
Situasi ini kena dengan peribahasa ‘Panas Setahun dihapus hujan sehari’, semua perkara baik yang dilakukan PH hampir dua tahun mentadbir negara mudah dilupakan rakyat kerana kesalahan dan kesombongan kecil beberapa pemimpin PH. Akhirnya, kestabilan kerajaan PH pula kini kian goyah.
 
Selepas tewas di Tanjung Piai, PH terus membimbangkan rakyat dengan pertemuan sulit bersama 30 wakil rakyat yang majoritinya Umno dengan menteri hal ehwal ekonomi. Mereka lebih gemar menjadi ‘batu api’ membangkikan soal peralihan kuasa perdana menteri antara Anwar Ibrahim - Mahathir.  Adakah semua ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada PH?

Mereka terperangkap dengan keputusan yang popular untuk terus stabil dengan membuat rombakan kabinet. Realitinya, rombakan kabinet selalunya membawa persepsi negatif kepada parti pemerintah dan akan mendapat kritikan buruk daripada rakyat.
 
Tiada masalah untuk perdana menteri lakukan rombakan kabinet.  Tetapi PH bakal menempuh jalan sukar dan rombakan ini berkemungkinan tidak memberi sebarang pembaharuan yang diperlukan rakyat. Boleh jadi, ia akan mengecewakan rakyat.
  
Tidak memberi kesan pembaharuan
 
Boleh jadi, rombakan kabinet ini akan memperlahankan pelaksanaan janji manifesto yang kini mendapat perhatian rakyat dan penganalisis politik. 

Kita harus sedar, pertukaran menteri akan memberi kesan kepada perubahan dasar. Perkara ini paling rumit kerana proses ini melibatkan semua pihak di peringkat pelaksana dan pentadbiran tertinggi.
 
Ia bakal mewujudkan masalah birokrasi dan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung. Penjawat awam juga akan mengeluh atas perubahan ini dan banyaklah nanti  daulah terpendam bakal berlaku.
 
Sejak dua dekad yang lalu, rombakan kabinet merupakan punca kedudukan parti pemerintah akan lebih tergugat. Rombakan kabinet pada tahun 2009 dan pelantikan Najib Razak sebagai perdana menteri telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), lebih teruk berbanding PRU12.
 
Rombakan kabinet kerajaan BN pada tahun 2015 yang menggugurkan Muhyuddin Yassin dan Shafie Apdal daripada jemaah menteri kerana kelantangan dalam kes 1MDB terhadap Najib Razak menyebabkan BN kalah pada PRU14.
 
Peristiwa-peristiwa ini wajar dikaji kerajaan PH sekiranya ingin meneruskan rombakan kabinet. Tidak munasabah sekiranya orang awam dan pimpinan melihat rombakan kabinet ini keputusan tunggal untuk memperkukuh prestasi kerajaan PH.
 
Menjadi kerajaan yang efektif dan kukuh

Jika kerajaan PH masih tidak fokus kepada mekanisme dan dasar kesejahteraan rakyat, maka nasib mereka akan sama seperti BN dalam tiga PRU yang lepas. Kerana itu juga, PH harus melihat mekanisma yang lebih berkesan untuk menstabilkan kedudukan mereka melebihi rombakan kabinet.
 
Kejayaan yang berlaku kebalakangan ini menunjukkan hasil sesuatu perubahan akan mengambil masa dan PH telah membuktikan kemampuan mentadbir negara ke landasan yang betul semula. Malang sekali bagi kerajaan PH sekiranya usaha reformasi ini berlaku hanya sepenggal kerana kesilapan kecil dan tidak munasabah yang membangkitkan kemarahan rakyat.
 
Matlamat utama kerajaan PH sekarang  adalah menjadi sebuah kerajaan berfungsi yang boleh memenangkan mereka dalam PRU15 dan terus memerintah pada penggal kedua dengan majoriti yang lebih tinggi. Agenda ini lebih penting berbanding rombakan kabinet yang tidak memberi jaminan kestabilan PH.
 
Tiada jalan mudah bagi PH jika ingin mentadbir negara pada penggal kedua selain melaksanakan  janji manifesto dan merencana dasar ekonomi demi kesejahteraan rakyat. 

Menjadi kerajaan tanpa mandat majoriti tidak bermaksud segala dasar baharu sukar dilaksanakan. Tetapi, ia memerlukan konsolidasi, rundingan dan libat urus yang efektif, melibatkan semua pihak dalam merangka dasar baharu.

Pendekatan ini mampu memudahkan penerimaan dasar baharu kerajaan PH dan membina keyakinan rakyat untuk memberi mandat kepada PH kekal sebagai parti pemerintah. Kejayaan PH bergantung kepada sejauh mana mereka benar-benar mahukan pembaharuan untuk melihat rakyat kembali hidup selesa.
 
Sekiranya kerajaan PH mula sedar akan kepentingan menjadi kerajaan efektif, maka agenda reformasi dan ekonomi yang menguntungkan rakyat mudah dilaksanakan. Jika tidak, kerajaan PH akan diancam pelbagai krisis kepimpinan dan kesukaran mengotakan janji manifesto hingga PRU15. Belum terlambat untuk PH mengkaji semula keputusan merombak kabinet dan mengenal pasti kekuatan baharu yang boleh mengembalikan sokongan rakyat. – AFP, 1 Disember, 2019. 

* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen