Hooray, bajet datang lagi!


KEJAYAAN hari esok ditentukan menerusi tindakan serta perancangan hari ini. Saya percaya, dasar inilah yang memungkinkan kerajaan BN (Barisan Nasional) mengumumkan pelan belanjawan tahun 2018, petang nanti.

Kita ambil contoh dasar keramat, dasar yang saban hari dan bulan disebut-sebut, yakni dasar pencukaian GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Yang baik untuk kerajaan BN, tetapi tidak untuk rakyat.

Seingat saya, seawal 10 Oktober 2014, nakhoda kepada pemerintahan BN, memanda perdana menteri pernah mengatakan bahawa 56% Indeks Barangan Pengguna akan turun dengan pelaksanaan GST, setelah inflasi yang bersifat sementara, berakhir.

Malanglah bagi rakyat yang terpaksa menelan pujuk rayu kerajaan BN, yang dijanji tak pernah tertunai dan yang diharap bakal terlenyap.

Lihat sahaja bagaimana pasca dua tahun selepas pelaksanaan GST, kadar inflasi Februari 2017 mencecah 4.5%, seterusnya menjelang Mac 2017 mencecah 5.1% - paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Namun, lupakan saja jurang antara janji dan realiti esok. Kerana petang nanti, kita akan ditayang imej maya seribu satu solusi permasalahan rakyat.

Kita bakal didendangkan dengan sejumlah RM 7.4 billion yang ditambah buat 20 universiti-universiti tanahair. Pedulikan hakikat bahawa dalam tiga tahun terkebelakang ini, belanjawan universiti dipotong berterusan dari 12 kepada 19% - dan potongan 27.3% sahaja bagi Universiti Malaya - yang mencatat peningkatan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa!

Kita bakal dihidang bonus untuk kakitangan awam yang naik mencanak walaupun sebelumnya - kenaikan pangkat dan kemasukan dibekukan.

Kita tertunggu-tunggu pengumuman tentang BR1M kesayangan - mungkinkah dinaikkan dengan kadar tertentu?

Gaji minima untuk semenanjung /Sabah dan Sarawak juga dinaikkan meskipun pada kadar berbeza.

Kita seolah-olah dipaksa lupa bahawa secara konsisten jugalah pemerintah BN memotong subsidi dan bantuan, daripada RM 43 billion dari tahun 2010 ke hanya RM 23 bilion pada tahun 2013.

Kita juga mengurut dada tanda lega, kerana pemerintah BN yang bijaksana turut menyasarkan pengambilan 60% graduan diploma TVET, daripada tenaga kerja yang berjumlah 1.5 juta!

Kita terpesona dengan pengumuman pelbagai skim latihan yang diatur secara istiqamah.

Tetapi, yang menjadi teka-teki tersembunyi, yang tidak mungkin disiar berita TV3, adalah bahawasanya, hingga ke hari ini, kekosongan pekerjaan masih belum mampu diisi kerana tidak wujud sebarang dasar yang mendokong lepasan pelajar teknikal. Hal Ini dikeruhkan lagi dengan kemasukan berbondong-bondong pendatang asing tanpa kawalan - bukankah sudah mencecah 6.7 juta tahun lepas?

Dan terkini, sebelum kita dilupakan menerusi durian runtuh kurniaan pemerintah BN, ingatlah, timbalan menteri dalam negeri mahukan 100% pekerja asing dalam bidang pembuatan! Dan di Parlimen minggu ini, menteri sumber manusia baru mengesahkan industri kekurangan 300 ribu orang lagi pekerja asing. Nah, bukankah kerajaan BN sendiri yang menyasar penggunaan warga asing tidak melebihi 15% daripada guna tenaga kerana negara menjelang 2020?

Media perdana juga akan menggembar-gemburkan sekelumit keprihatinan pemerintah BN kepada rakyat yang berterusan - tetapi siapa saja yang mengaplikasi cukai GST dan membiar rakyat terkandas dalam jurang kaya miskin yang membarah?

Adakah media arus perdana akan mengingatkan bahawa jumlah terkumpul hutang kerajaan terkini sebanyak RM 673 billion - dan semakin hampir dengan kadar maksimum 55% yang ditetapkan kerajaan. Ternyata, hutang sebesar ini mampu menggugat prospek pembangunan negara pada waktu ini dan akan datang.

Jangan dilupa jua hutang luar negara Malaysia yang telah mencecah RM 908 billion pada tahun 2016.

Semuanya bisa terkawal kata mereka!

Lucu juga melihat satu lagi media arus perdana berbahasa Inggeris, yang lantas memadam pautan kepada artikel pakar ekonomi terkemuka, Prof KS Jomo dan Raisa Muhtar - yang memperincikan bahawa antara punca  utama kejatuhan ekonomi negara ialah ketirisan, salah guna kuasa, rasuah pentadbiran dan pengubahan wang haram.

Tekun Nasional (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) mengalami kerugian pada akhir 2015 bernilai sebanyak RM 209.28 juta.

Badan Integriti Global pula mengemukakan laporan bahawa kira-kira RM1.8 trillion aliran wang haram telah melalui Malaysia dari tempoh 2005 hingga 2014. Kita begitu hebat, kerana dibandingkan dengan 5 negara terkemuka seperti India, Mexico, China dan Russia!

Malaysia yang mempunyai kadar KDNK per kapita sebanyak 6%, merupakan negara membangun yang mengalami isu integriti aliran wang haram tertinggi di dunia.

Alangkah baik sekiranya dapat kita bincangkan asbab dan mencari penyelesaiannya di Parlimen petang ini!

Pun begitu, saya akhiri tulisan menjelang Belanjawan, dengan gesaan buat rakyat sekalian - Alhamdulillah, nikmatilah pemberian esok - yang diturunkan oleh pemerintah BN yang berbelanja dengan duit kita!

Saya hanya sekadar mengingatkan premis asal, bahawa kita hanya mampu hidup hari ini dengan lestari untuk hari esok, dengan menitikberatkan masa depan.

Ini juga merupakan detik tepat agar rakyat mengimbau semula punca segala permasalahan, iaitu akibat ketidakmampuan kerajaan mencantas masalah pokok isu sara hidup rakyat.

Selama dibiarkan limpahan dana Malaysia menerusi rasuah, aliran wang haram, dan lemahnya institusi media perdana, anti rasuah dan pendakwaraya dalam mendesak jerung besar dikenakan tindakan - selama itulah, yang ada hanyalah pemberian hari ini yang disusuli kengerian realiti masa depan.

Syukurlah, rakyat lebih bijak, dan mampu merencana buat masa depan milik kita.

Hooray, belanjawan datang lagi, tetapi memanda perdana menteri boleh saja datang dan pergi - asal jangan dana negara dibawa lari! – 27 Oktober, 2017.

*Nurul Izzah Anwar adalah ahli Parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen