SARAWAK tidak lagi boleh bergantung kepada Putrajaya untuk menyediakan dana bagi membangunkan kawasan-kawasan pendalaman di negeri itu, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.
“Kita tidak boleh dan kita tidak mahu terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi dana bagi membina jalan, jambatan dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik di kawasan pendalaman,” katanya pada majlis pecah tanah projek tebingan sungai di pekan Lingga.
Lingga terletak kira-kira 244 kilometer dari Kuching.
Johari memberi beberapa contoh projek yang diluluskan dan diberi peruntukan oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional tetapi dibatalkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Salah satu projek yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah pembinaan Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM800 juta.
Jambatan sepanjang lima kilometer itu akan menjadi hab rangkaian pengangkutan jika siap tetapi dibatalkan walaupun kerajaan negeri bersetuju menanggung 50% kos projek itu.
“Sebelum ini, kita akan meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membina jalan, menyediakan elektrik dan bekalan air.
“Kini kita tidak boleh terlalu bergantung,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu memberi ruang kepada pengkritik untuk mempersoalkan dana yang akan digunakan kerajaan negeri untuk membiayai projek yang dianggarkan menelan kos RM13 bilion.
Johari menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri akan menggunakan wang rizabnya yang kini berjumlah kira-kira RM30 bilion.
“Saya fikir mereka (pengkritik) ini bodoh,” katanya sambil mencadangkan mereka perlu kembali ke sekolah untuk belajar tentang perbankan.
“Kita mempunyai bank sendiri, DBOS,” katanya merujuk kepada Bank Pembangunan Sarawak yang dimiliki oleh kerajaan negeri,
“Kita tidak akan mengusik wang rizab.
“Mereka ini bodoh dan tidak faham tentang perbankan.”
Beliau memberi contoh seperti situasi membeli kereta apabila pembeli membuat pinjaman dan membayar secara bulanan.
“Kita juga akan membuat pinjaman sama seperti membeli kereta.
“Sudah tentu kita tidak boleh membayar sekaligus, jadi kita akan membuat pembayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.”
Katanya DBOS tidak perlu bimbang untuk memberi pinjaman kerana pendapatan kerajaan negeri setiap tahun adalah RM10 bilion.
“Kita tidak bodoh. Saya fikir mereka yang bodoh dan perlu dihantar ke sekolah perniagaan,” katanya. – 1 Disember, 2019.
Komen