Pemimpin Nato lawat Korea Selatan bincang isu keselamatan, Korea Utara


PEMIMPIN Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan melawat Korea Selatan minggu depan bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Luar Korea Selatan pada Jumaat.

Semasa lawatan tiga hari bermula Rabu, Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Moon Jae-in dan bertemu Menteri Luar Kang Kyung-wha.

Beliau dijadual melawat Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan, kata kementerian itu.

Beliau juga akan bertemu pegawai atasan lain dan pakar.

Menurut kementerian itu, lawatan beliau bertujuan mengadakan “perbincangan mendalam” mengenai pendekatan yang diselaras kedua-dua pihak terhadap Korea Utara, pengawalan senjata pemusnah besar-besaran, keamanan siber dan antikeganasan.

Kunjungan beliau ke Korea Selatan merupakan yang kedua seumpamanya oleh pemimpin Nato sejak April 2013, ketika setiausaha agung ketika itu, Anders Fogh Rasmussen, melawat negara tersebut.

Korea Selatan meningkatkan kerjasama rasmi dengan Nato sebagai satu daripada “rakan kongsinya di seluruh dunia,” bersama negara-negara lain. – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen