Zakir Naik didakwa pelampau, hina agama lain


Zakir Naik penceramah kontroversi mencetuskan ketegangan di India dan beberapa negara lain selepas dakwaan yang radikal mengenai toleransi agama dan dianggap menghina negara lain. – Gambar AFP, 27 Oktober, 2017.

PENCERAMAH kontroversi Zakir Naik didakwa tanpa kehadiran (in absentia) atas tuduhan “dengan sengaja menghina kepercayaan agama Hindu, Kristian dan Islam,” lapor Times of India hari ini.

Kertas pendakwaan Agensi Penyiasatan Nasional (NIA) juga menyebut yang “Zakir tidak dianggap ilmuan Islam walaupun dia menghafal Al Quran dan Hadis. Pengetahuannya mengenai Islam sangat lemah.”

Kertas pendakwaan itu menyebut yang Zakir, seorang rakyat India menyampaikan lebih 1,500 ceramah awam di India dan luar negara sejak 1994 dan mendakwa hanya “Islam agama yang benar”.

Zakir diburu pihak berkuasa India sejak dia meninggalkan negara itu tahun lepas dan pasportnya dibatalkan. Dia dipercayai bergerak antara Arab Saudi dan Malaysia.

Saudi memberikannya kewarganegaraan dan dia juga mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia sejak lima tahun lalu.

“Zakir dengan sengaja dan berniat jahat menghina Hindu, Kristian dan mazhab tertentu Islam yang tidak mengikut ajaran Wahhabism, dengan niat untuk mencetuskan ketegangan agama.

“Dia juga mengatakan antara semua kitab suci agama lain, hanya Al Quran yang masih dalam bentuk asalnya, semua kitab agama lain sudah dikorupkan.

“Dia juga secara terbuka mendakwa semua utusan lain, termasuklah Musa, Isa serta Sri Krishna menyebarkan Islam.

“Dia juga mengkritik amalan ibadat dalam agama lain serta dalam kelompok bukan Wahhabi Islam seperti Syiah, Sufi dan Barelvis, dan menyifatkannya tidak Islamik,” kata NIA menurut laporan akhbar itu.

Dilaporkan juga yang Zakir melanggar Akta Aktiviti Haram (Pencegahan) (UAPA) kerana mengetuai “persatuan haram”.

India mengharamkan organisasi Zakir- Islamic Research Foundation (IRF)- pada 2006 di bawah UAPA.

Syarikat swasta, Harmony Media Pvt Ltd juga dinamakan sebagai pihak subahat kerana bersama Zakir menyebarkan kebencian dan permusuhan antara pelbagai kumpulan agama berbeza dan menghina kumpulan tertentu dalam Islam dan agama lain, kata laporan itu lagi.

“…IRF dan Harmony Media penting dalam pengedaran ucapan kebencian dalam bentuk CD, DVD, program TB,” kata NIA.

NIA mengatakan “dalam beberapa kejadian, ceramah awam Zakir menimbulkan ketegangan masyarakat…membentuk situasi mencabar undang-undang dan aturan yang serius”.

Dalam kertas pendakwaan yang dilihat TOI, saksi memberitahu NIA yang mereka sebelum itu dipengaruhi oleh kemahiran pengucapan awam Zakir pada “persidangan keamanan” IRF pada 2007 dan 2008.

NIA juga mendakwa dua yang lain, termasuk seorang pekerja IRF kerana merekrut orang untuk menyertai kumpulan pengganas, IS.

Pasport Zakir dibatalkan pada Julai tahun ini selepas dia berulang kali gagal menghadirkan diri setelah diminta NIA untuk siasatan berkaitan dakwaan dia terlibat dalam kes pembiayaan keganasan.

Bagaimanapun, penceramah itu diterima ramai di Malaysia termasuklah kumpulan haluan kanan orang Melayu, Perkasa yang awal tahun ini menganugerahkan Zakir “Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara” atas sumbangannya dalam perjuangan Islam.

Pada Mac tahun ini pula, 19 orang rakyat Malaysia memulakan prosiding undang-undang terhadap Putrajaya dan empat yang lain bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman keselamatan awam, moral, ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan negara.

Putrajaya dalam usaha membuang saman 19 orang terhadap Zakir itu. – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen