.jpg)
MUNSHI Abdullah hidup dalam dilema penjenamaan. Sekiranya dalam konteks bisnes, ia konflik pemasaran.
Mengapa?
Isunya kerana dua kontradiksi mengenai imej penulis kelahiran Kampung Pali, Melaka. Abdullah dianggap tokoh Melayu sekali gus anti Melayu.
Abdullah bin Abdul Kadir lahir pada 1796 sebagai anak bumi Melaka. Bapanya keturunan Arab manakala ibunya berdarah India.
Abdullah menulis banyak karya dan dua pemikiran kritisnya terzahir dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838) dan Hikayat Abdullah (1849).
Itu latar Abdullah dan karya-karyanya. Berbalik kepada konflik penjenamaan yang menyelubungi status Abdullah dalam katalis Malaysia hari ini.
Abdullah dinobatkan sebagai Bapa Sastera Moden, Bapa Kewartawanan, Bapa Percetakan dan tidak aneh juga sebagai Bapa Pendidikan Bahasa.
Namun, dengan segala gelaran bapa tanda penghargaan terhadap sumbangan dinamik Abdullah, wujud paradoks. Abdullah dicela kerana karya-karya begitu sinikal dan kritis terhadap orang Melayu.
Abdullah mengkritik sikap kesultanan Melayu, sikap pendidikan Melayu, sikap sosial Melayu dan ekonomi Melayu. Dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, banyak kecenderungan kritikan terhadap sikap kesultanan Melayu.
Tanpa gentar, Abdullah mengkritik insiden perang saudara di Terengganu sebagai tanda kezaliman feudal.
Selain gambaran, sultan suka berhibur, membiarkan judi dan candu berleluasa. Malah, istana dikritiknya sebagai tidak Islamik.
Abdullah turut mengkritik orang Melayu sebagai tidak sukakan pendidikan, malas bekerja serta kuat berjudi, minum arak dan memadat candu.
Abdullah yang kontroversi inilah menjadi subjek utama Melaka In Fact (MIF) yang sedang berlangsung di GHUMAH.malacca, No. 36 Jalan Tokong, Melaka. Pelbagai program bersifat akademik, pensejarahan, pameran, lawatan dan ledakan media sosial diatur penganjur MIF berakhir pada 8 Disember ini.
Format MIF yang lebih hipster dan bersifat media sosial satu penyesuaian dinamik bagi meremaja dan merakyatkan pengenalan Abdullah Munshi.
Abdullah dalam katalis pemasaran dan diskusi ilmiah MIF lebih difigurakan sebagai fenomena digital.
Tema ‘Munshi Abdullah: Penular Media Sosial’ menjadikan tokoh genius ini dipromosi dengan konsep yang relevan minat anak muda.
Poster di media sosial, mood di lokasi acara, topik perbincangan dan acara membabitkan masyarakat awam, menjadikan imej Abdullah terasa dekat dan membumi sifatnya.
Pameran bermula pada 16 November terasa menghangatkan persekitaran Melaka. Dari Tengkera ke Jonker Walk, MIF mempromosi sesi diskusi dan pengenalan mengenai Abdullah.
Bagi yang berminat untuk mengenali Abdullah, genius kontroversi dan serba paradoks ini, jangan ketinggalan mengunjungi pameran ini.
Layari Facebook Melaka In Fact, semua perincian acara dipaparkan. Anda boleh melawati pelbagai pameran dan acara pada hari biasa.
Suasana lebih hangat dengan acara hujung minggu termasuk sesi menjejak tapak-tapak berkaitan berkaitan kehidupan Abdullah di Melaka serta forum akademik membabitkan tokoh ini.
Memang MIF berjaya menghidupkan Munshi Abdullah – genius Melayu paling kontroversi. – 1 Disember, 2019.
* Muhammad Ibrahim merupakan pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen