Umno tumpu hala tuju dengan PAS dalam perhimpunan agung


SM Amin

Dijangkakan, lebih 12,000 orang akan terlibat sepanjang empat hari persidangan berlangsung termasuk hampir 3,000 perwakilan sayap-sayap dan hampir 3,000 perwakilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2019.

USAHA perpaduan dan memenangi PRU15 dijangka menjadi tumpuan utama dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan berlangsung antara 4 hingga 7 Disember.

Ia termasuk tumpuan kepada hala tuju perjuangan parti dalam landskap politik baharu selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional dengan PAS pada September.

Dalam perhimpunan kali ini, Umno mengekalkan tema “Umno Sebuah Perjuangan” yang digunakan dalam PAU tahun lalu.

Menurut Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, tema tersebut dikekalkan kerana parti mahu menjelaskan penekanan tertentu.

Ia berkaitkan dengan tindakan enam ahli Parlimen Umno yang keluar parti selepas PAU2018 berakhir, diikuti 13 wakil rakyatnya dari Sabah, yang kemudian menyertai Bersatu.

Selain daripada itu, Umno juga berdepan dengan sikap segelintir pemimpin yang dikatakan mengadakan rundingan dengan parti lawan tanpa mendapat mandat parti.

Ia bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mengambil ketetapan hanya presiden Umno dibenarkan berunding dengan parti lain bagi membentuk kerjasama politik.

Kemenangan Umno dalam siri PRK tahun ini pula dijangka mendasari perbahasan perwakilan bagi mengekalkan momentum menghadapi PRU15, selain mengungkit kelemahan kerajaan.

Pemuda dan Wanita Umno pula dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera yang berada di bawah pergerakan tersebut seperti Skuad Sayang dan Skuad Sabil.

Dalam perhimpunan kali ini, Umno mengekalkan tema “Umno Sebuah Perjuangan” yang digunakan dalam PAU tahun lalu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2019.

Penubuhan kedua-dua jentera ini juga dijangka turut dimasukkan dalam usul cadangan pindaan perlembagaan parti.

Skuad Sayang yang telah berusia 10 tahun dijangka akan dijenamakan kepada Skuad Sayang 3K dengan tumpuan bukan lagi kepada soal kebajikan tetapi juga kepada soal keselamatan dan kesihatan.

Skuad Sabil daripada Pergerakan Pemuda Umno yang baru ditubuhkan pada tahun ini memberi tumpuan kepada semangat sukarelawan tanpa mengira parti – terbuka kepada orang ramai.

Dengan mengikut konsep Unit Amal dari parti PAS, Skuad Sabil mensasarkan aktiviti membantu masyarakat menjaga keselamatan dan kesejahteraan para pemimpin dan peserta dalam program parti.

Pindaan Perlembagaan

Perhimpunan kali ini mencatat sejarah kerana Umno bakal membuat pindaan menyeluruh buat kali pertama selepas parti itu tewas dalam PRU14.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menjelaskan pindaan tersebut dibuat kerana Umno bukan lagi kerajaan dan perlu disesuai dengan perkembangan politik semasa tanah air.

Umno juga dijangka akan meminda proses keahlian yang akan membuka ruang seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menjadi ahli Umno.

Selain itu, pindaan akan memberi Umno Sabah kuasa sepenuhnya dalam menentukan pendirian dan hala tuju dalam menguruskan parti.

Menurut Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, tema tersebut dikekalkan kerana parti mahu menjelaskan penekanan tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2019.

Pindaan ini sudahpun digariskan dalam tujuh teras dengan 21 langkah hala tuju parti, rentetan daripada Ucapan Dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.

PAU 2019 dijangka lebih besar daripada tahun lalu dengan kehadiran NGO daripada pelbagai organisasi dalam usaha Umno yang mahu menjadikan parti itu lebih terbuka.

“Jadi fokus kita pada kali ini ialah untuk membuat libat urus dan membuka ruang menghadiri persidangan kita kepada ahli Parlimen Belia pemimpin persatuan mahasiswa, belia dan badan NGO termasuk persatuan nelayan, persatuan pemandu teksi dan sebagainya,” kata Annuar Musa.

Dijangkakan, lebih 12,000 orang akan terlibat sepanjang empat hari persidangan berlangsung termasuk hampir 3,000 perwakilan sayap-sayap dan hampir 3,000 perwakilan.

Selain itu, ia dijangka menarik kehadiran sehingga 600 orang pemerhati. – 1 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen