KERAJAAN Amerika Syarikat pada Khamis mengeluarkan beberapa ribu fail rahsia berkaitan pembunuhan Presiden John F Kennedy tetapi masih menyekat beberapa lagi atas alasan keselamatan negara.
Dalam satu kenyataan Arkib Nasional mengatakan berdasarkan arahan daripada Presiden Donald Trump ia akan mengeluarkan 2,891 rekod berkaitan pembunuhan JFK di Dallas, Texas pada 22 November 1963.
Penyelidik Kennedy mengatakan dokumen dikeluarkan itu mungkin tidak mempunyai maklumat penting atau meredakan teori konspirasi pembunuhan itu yang wujud berdekad lamanya.
Trump dalam satu memorandum berkata, beliau setuju menyekat beberapa fail berkaitan pembunuhan itu untuk semakan lanjut.
“Jabatan eksekutif dan agensi mencadangkan kepada saya beberapa maklumat perlu terus dirahsiakan kerana keselamatan negara, pasukan penguatkuasaan undang-undang dan kebimbangan hubungan luar,” kata Trump.
“Saya tiada pilihan- hari ini- untuk terus menerima kerahsiaan itu berbanding membenarkan keburukan berlaku kepada keselamatan negara,” katanya.
Pegawai pentadbiran yang minta tidak dinamakan memberitahu majoriti permintaan itu datang dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). – AFP, 27 Oktober, 2017.
Komen