Pemecatan Zakaria kekal, kata Fahmi


PEMECATAN Ketua Cabang Bera PKR Zakaria Abdul Hamid kekal walaupun 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang diketuai Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali menentang tindakan tersebut.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata keputusan memecat Zakaria dibuat oleh jawatankuasa pusat atas saranan lembaga disiplin parti.

“Ia bukan keputusan Presiden (Anwar Ibrahim). Justeru isu minta maaf oleh presiden tidak timbul,” katanya dipetik portal Free Malaysia Today.

Pagi tadi 20 ahli MPP diketuai Azmin berkata pemecatan Zakaria cacat dan tidak mengikut prinsip keadilan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan berkenaan menegaskan pemecatan itu tidak wajar kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui tersilap dalam saranannya.

Mereka turut mendesak Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf atas tindakan pemecatan berkenaan.

Selain Azmin, turut membantah pemecatan itu adalah dua Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta dua Timbalan Ketua sayap, Haniza Talha dan Hilman Idham.

Mereka menegaskan keputusan memecat Zakaria dilakukan secara tergesa-gesa serta tidak mendapat sokongan dua pertiga anggota MPP.

PKR pada Ahad lalu mengumumkan pemecatan Zakaria dan seorang ahli di Pahang, Ismail Dulhadi, berdasarkan nasihat SPRM  atas dakwaan salah laku dan rasuah semasa pemilihan parti. – 30 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen