RIBUAN orang membanjiri bahu jalan berhampiran Grand Palace dan Sanam Luang hari ini untuk menyaksikan perarakan Kendi Diraja mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.
Perarakan itu, yang dilaksanakan dengan penuh tradisi diraja dan kepercayaan penganut Buddha, membawa jenazah mendiang Raja Bhumibol dari Dewan Takhta Dusit Maha Prasad di Grand Palace, di mana ia ditempatkan sejak kemangkatan baginda tahun lepas, ke kawasan Upacara Persemadian Diraja di Sanam Luang.
Sanam Luang menempatkan kawasan Pembakaran Diraja atau “Phra Meru Mas”.
Kebanyakan mereka yang berkabung itu berkhemah di bahu jalan menghala ke Grand Palace sejak tengah malam tadi dan kelihatan tidak dapat menahan emosi apabila menyaksikan pedati emas yang membawa Kendi Diraja diperbuat daripada kayu cendana itu berarak menuju ke Sanam Luang.
Raja Maha Vajiralongkorn, yang berpakaian sut upacara tentera, serta anggota kerabat diraja lain menyusuli perarakan ke Sanam Luang, yang merupakan perjalanan terakhir mendiang Raja Bhumibol sebelum menuju ke syurga, mengikut kepercayaan penganut Buddha.
Raja Maha Vajiralongkorn akan mengetuai upacara pembakaran simbolik petang ini, dengan upacara sebenar pembakaran jenazah mendiang Raja Bhumibol dijadualkan pada 10 malam ini (11 malam waktu di Malaysia).
Seorang daripada mereka yang berkabung, Samroeng Phuengpieng, 67, dari Rayong, berkata beliau dan isterinya datang ke Bangkok tiga hari lepas bagi menyaksikan upacara persemadian Raja Rama 9 yang dikasihi mereka.
Mendiang Raja Bhumibol turut dikenali sebagai Raja Rama 9.
“Kami berasak-asak ke Sanam Luang untuk menyaksikan Upacara Persemadian Diraja dan mahu berada sehampir boleh dengan Bapa Diraja kami,” katanya.
Upacara Persemadian Diraja itu, yang akan berlangsung selama lima hari sehingga Ahad ini, bermula petang semalam dengan Raja Maha Vajiralongkorn mempengerusikan upacara merit sebagai persiapan bagi melaksanakan semua upacara penting hari ini.
Raja Bhumibol mangkat pada 13 Oktober tahun lepas pada usia 89 tahun, selepas menerajui pemerintahan Thailand selama tujuh dekad.
Berikutan kematian bapanya, Raja Maha Vajiralongkorm diisytiharkan sebagai raja baharu Thailand pada akhir tahun lepas. Upacara pertabalan baginda dijangka diadakan hujung tahun ini.
Lebih daripada 40 pemimpin dan kerabat diraja asing menghadiri Upacara Persemadian Diraja itu dengan Malaysia diwakili oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Baginda berdua tiba di Bangkok pada malam Rabu. – Bernama, 26 Oktober, 2017.
Komen