Kami hanya mahu penuhi hajat Chin Peng, kata kawan


Khoo Gek San

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, meninggal dunia akibat kanser di Bangkok, Thailand pada 2013.– Gambar EPA, 30 November, 2019.

MEMBAWA pulang abu mayat Chin Peng untuk ditabur di Malaysia hanyalah bagi memenuhi hajat kawan,” kata rakan kepada mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Chai Kan Fook, 81, merupakan antara yang bertanggungjawab membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini, memberitahu The Malaysian Insight tindakan mereka bukan untuk menimbulkan masalah tetapi hanya memenuhi hajat Chin Peng sebelum mati.

“Ini merupakan salah satu hajatnya untuk disemadikan bersama rakan seperjuangan yang sudah meninggal berdekatan bukit itu,” kata Chai.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, meninggal dunia akibat kanser di Bangkok, Thailand pada 2013, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke 83.

Kerajaan Malaysia tidak membenarkan mayat atau abu mayatnya dibawa kembali negara ini untuk disemadikan.

Namun pada 16 September lalu, sekumpulan individu terdiri daripada rakan lamanya membawa kembali abu mayat pemimpin PKM itu ke Malaysia dan mengadakan upacara pengebumian pada hari yang sama.

Mereka kemudiannya menabur abu berkenaan di kawasan bukit berhampiran Chemor di Perak dan di laut iaitu kira-kira 3 kilometer dari Lumut.

“Saya tak menyesal bawa balik abu mayatnya dan saya sedia berdepan sebarang akibat, termasuk dipenjarakan,” kata Chai kepada The Malaysian Insight.

Chai berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau takut tindakan diambil terhadapnya selepas dipanggil memberi keterangan oleh polis pada Khamis.

Ditanya mengapa mereka mengumumkan telah menabur abu mayat Chin Peng dua bulan lalu, Chai berkata: “Kami hanya memaklumkan untuk masyarakat tahu apa yang kami lakukan.

“Niat kami mengadakan sidang media untuk menutup isu ini dengan pengumuman ringkas kerana ia adalah amanat terakhirnya untuk disemadikan dengan rakannya yang lain berhampiran bukit,” kata Chai.

Chai berkata, mereka hanyalah sekumpulan kecil rakan yang tiada niat lain selain menghormati hajat terakhir kawan yang sudah meninggal dunia.

“Saya sangat gembira kerana melakukan perkara ini dan saya tidak menyesal buat sidang media. Mereka yang mengkritik kami hanya mahu dapat perhatian untuk diri mereka sendiri,” tambah Chai.

Pemimpin pembangkang dari Umno dan PAS mengkritkk tindakan itu dan menuduh kerajaan Pakatan Harapan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini.

Mereka menyatakan Chin Peng dan parti komunisnya telah membunuh ramai rakyat Malaysia dan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun membidas kenyataan itu dan berkata mereka yang menyalahkan kerajaan PH hanya menggunakan isu itu untuk agenda sendiri.

“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan,” katanya dan menambah isu itu tidak perli diperbesarkan kerana pemimpin komunis itu sudah meninggal dunia.

Menurut perdana menteri, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng di luar kawalan mana-mana pihak dan menambah Malaysia membenarkan pemimpin PKM lain pulang ke Malaysia seperti Shamsiah Fakeh selepas perjanjian damai 1989, namun tidak dapat menerima Chin Peng kerana “dia ketua” mereka.

Di bawah perjanjian damai yang ditandatangani Malaysia, Thailand dan PKM untuk menamatkan darurat, ahli dan pemimpin PKM dibenarkan kembali ke Malaysia bersyarat.

Chin Peng pernah memfailkan kes di Malaysia untuk kembali ke negara ini di bawah perjanjian damai, namun ia ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Peguamnya berkata, pemimpin komunis itu berulang kali menulis surat kepada kerajaan Malaysia untuk meminta kebenaran untuk kembali, namun ia ditolak.– 30 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen