Kilang mercun meletup di Indonesia, lebih 20 pekerja maut


Kilang mercun di Tangerang, dekat Jakarta terbakar pagi tadi mengorbankan lebih 20 pekerja dan mencederakan ramai yang lain. Bomba mengambil masa lima jam untuk memadamkan api. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2017.

LEBIH 20 pekerja kilang mercun dilaporkan maut manakala lebih 50 lagi cedera dalam satu kejadian letupan di kilang berkenaan di Tangerang, dekat Jakarta.

Dalam kejadian 9 pagi itu, dilaporkan berlaku dua letupan sebelum kilang itu terbakar.

Menurut laporan media dalam talian, jumlah mangsa yang dilaporkan maut setakat ini sebanyak 23 orang dan kebanyakan mayat ditemukan di bahagian belakang kilang.

“Jumlah korban hingga saat ini 23 orang,” kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Metro Jaya Nico Afinta kepada wartawan di lokasi, Pergudangan 99, Kosambi, Tangerang, hari ini.

Nico berkata semua mangsa yang maut masih belum dikenal pasti dan kebanyakan mayat ditemukan dalam keadaan rentung.

Polis juga sedang mengambil keterangan kaum keluarga para pekerja kilang berkenaan dalam proses mengenal pasti semua mangsa terbabit.

Sebanyak 103 orang direkodkan sebagai pekerja di kilang berkenaan dan pasukan bomba masih menjalankan kerja pemadaman api sejak lebih lima jam.

Mereka yang cedera sedang dirawat di beberapa hospital di sekitar Jakarta.

Polis masih menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa yang terkorban mungkin bertambah. – Bernama, 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen