DAP bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk tidak memperbesarkan isu abu mayat Chin Peng, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu berkata, partinya bersetuju dengan pendirian itu dan tiba masanya untuk lupakannya.
“Apa yang perdana menteri cakap sudah cukup. Saya rasa dah cukup. Dan kita bersetuju dengan pendirian itu,” katanya yang juga menteri kewangan.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita berhubung pendirian parti terhadap isu berkenaan menjadi hangat apabila waris pemimpin Parti Komunis Malaya itu membawa masuk abu mayatnya ke negara ini dan menaburkannya dalam laut di Lumut dan banjaran Titiwangsa di Perak, yang merupakan negeri kelahiran Chin Peng.
Semalam, Dr Mahathir berkata isu abu mayat pemimpin komunis itu tidak perlu diperbesarkan kerana Chin Peng sudah pun mati.
“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua… kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah. Cuma abu dia sahaja yang balik,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Seoul.
Sekumpulan individu yang menguruskan mayat pemimpin komunis itu selepas kematiannya pada 2013 di Thailand, bertindak membawa pulang abu mayat berkenaan pada September lalu.
Kumpulan terbabit mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media dua hari lepas, dan perkara itu kini dalam siasatan polis.
Tindakan kumpulan berkenaan mencetuskan kritikan daripada pemimpin pembangkang dari Umno dan PAD, yang menuduh kerajaan Pakatan Harapan membenarkan abu mayat itu dibawa pulang.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata isu itu sengaja diperbesarkan untuk memburukkan kerajaan.
“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan,” katanya.
“Perkara sama berlaku bawah Najib (Razak) sebelum ini, tapi tak ada apa yang berlaku. Sekarang semuanya salah PH.”
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang.
Menurut perdana menteri, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng di luar kawalan mana-mana pihak.
“Macam mana kita nak tahu? Dia bawa abu dalam flusk dan kita tak tahu siapa yang nak tengok. Kalau nak buang abu tu, buang lah,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata tidak seperti pemimpin komunis lain yang diterima pulang ke Malaysia selepas perjanjian damai 1989, kerajaan tidak dapat menerima Chin Peng kerana “dia ketua” mereka.
“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua… kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah. Cuma abu dia sahaja yang balik.
“Kita beri Shamsiah Fakeh balik, tiada siapa complain. Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Rashid Maidin boleh (datang) ke Malaysia. Ada lain-lain lagi.
“Tapi Chin Peng memang kita tak mahu terimalah… sebab dia ketua,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Seoul, semalam.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, merupakan setiausaha agung PKM.
Pemimpin komunis itu meninggal dunia pada 16 September, 2013 ketika berusia 89 tahun dan hidup dalam buangan di Thailand.
Di bawah perjanjian damai yang ditandatangani Malaysia, Thailand dan PKM untuk menamatkan darurat, ahli dan pemimpin PKM dibenarkan kembali ke Malaysia bersyarat.
Chin Peng pernah memfailkan kes di Malaysia untuk kembali ke negara ini di bawah perjanjian damai, namun ia ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.
Peguamnya berkata, pemimpin komunis itu berulang kali menulis surat kepada kerajaan Malaysia untuk meminta kebenaran untuk kembali, namun ia ditolak.– 29 November, 2019.
Komen