Shinzo Abe mungkin dilantik semula PM Jepun


Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dijangka dipilih semula dalam sesi parlimen khas, yang akan berlangsung selama lapan hari bermula Rabu depan. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2017.

PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe dijangka dipilih semula dalam sesi parlimen khas, yang akan berlangsung selama lapan hari bermula Rabu depan, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.

Ia berikutan keputusan pilihan raya pada minggu lalu, yang menyaksikan Parti Liberal Demokratik (LDP) dan sekutunya parti Komeito meraih kemenangan besar.

Abe, mungkin akan dipilih semula pada hari pertama sesi parlimen dan membentuk kabinet baharunya selepas itu.

Beliau dijangka mengekalkan majoriti menteri-menteri kanannya dari LDP dan Komeito.

Selain itu, pelantikan speaker dan naib speaker dewan juga akan dilakukan pada sidang parlimen sama.

Menurut sumber parti pemerintah, sebagaimana dilaporkan media tempatan, bekas Menteri Kewangan Fukushiro Nukaga dan bekas Ketua Menteri Kabinet Takeo Kawamura, kedua-dua merupakan calon pilihan untuk jawatan speaker.

Bagaimanapun, penyandang jawatan itu, Tadamori Oshima turut disebut-sebut oleh beberapa sumber LDP akan mengekalkan jawatannya.

Sementara wakil pembangkang pula, dijangka akan mengambil alih jawatan Tatsuo Kawabata sebagai naib speaker.

Berikutan kejayaan parti pemerintah pada pilihan raya umum Ahad lalu, mengikut perlembagaan, sesi parlimen khas mesti diadakan dalam masa 30 hari. – Bernama, 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen