HONG KONG bersiap sedia untuk siri baharu protes rakyat hujung minggu ini selepas polis mengumumkan pihak berkuasa akan berundur dari pos kawalan di sebuah universiti yang menjadi medan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis sepanjang enam bulan lalu, lapor Reuters.
Protes yang diumumkan penunjuk perasaan di media sosial dirancang sepanjang minggu ini sehingga minggu depan.
Hab kewangan Asia dilihat tenang sejak pilihan raya tempatan pada Ahad yang memihak kemenangan besar kepada calon pro-demokrasi.
Protes anti kerajaan mencetuskan pergolakan di wilayah bekas jajahan brisih itu sejak Jun sehingga menjejaskan operasi niaga dan pentadbiran dan malah menutup sekolah dan lapangan terbang pd waktu tertentu.
Ratusan pegawai polis memasuki kampus Universiti Politeknik pada Khamis untuk mengumpul bukti, membuang barang berbahaya termasuk beribu-ribu bom petrol, anak panah dan bahan kimia yang disebarkan di sekitar kawasan institusi berkenaan.
Chow Yat-ming, seorang pegawai kanan polis berkata bahawa polis akan dapat menyelesaikan siasatan mereka hari ini.
Semua pegawai akan meninggalkan kawasan berkenaan bagi membolehkan orang ramai masuk dan keluar dari kampus.
Universiti Politeknik yang terletak di semenanjung Kowloon telah berubah menjadi medan pertempuran pada pertengahan November ketika para penunjuk perasaan membuat sekatan dan bertempur dengan polis rusuhan.
Kira-kira 1,100 orang ditangkap minggu lalu ketika cuba melarikan diri.
Polis berkata mereka mendapati lebih 3,000 koktel molotov dan beratus-ratus botol cecair dijumpai di kampus.
Tidak jelas sama ada mana-mana penunjuk perasaan masih berada di universiti berkenaan hari ini tetapi polis mengatakan penangkapan tidak menjadi keutamaan dan sesiapa yang dijumpai akan diberi rawatan perubatan terlebih dahulu.
Hong Kong telah terjerumus dalam kancah kekacauan selama berbulan-bulan akibat tunjuk perasaan jalanan ganas bagi membantah apa yang disifatkan sebagai campur tangan Beijing terhadap kebebasan yang dijanjikan kepada bekas tanah jajahan Britain itu semasa ia dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997.
Beijing menafikan dakwaan tersebut dan berkata ia komited dengan formula “satu negara, dua sistem” yang dilaksanakan ketika itu. – Reuters, 29 November, 2019.
Komen