New Zealand tambah bantuan perubatan ke Samoa


New Zealand akan menghantar 100,000 dos vaksin campak ke Samoa. – Gambar AFP, 29 November, 2019.

NEW Zealand akan menambah bantuan perubatan ke Samoa susulan kes wabak campak di negara kepulauan Pasifik itu kini melebihi 3,000 kes.

Kerajaan Samoa berkata angka korban akibat wabak itu mencecah 42 orang, manakala sebanyak 213 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam. Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 3,149 kes.

“Sistem kesihatan Samoa kini di bawah tekanan serius dengan jumlah pesakit yang kian bertambah, kebanyakannya kanak-kanak yang memerlukan penjagaan rapi,” kata Menteri Luar New Zealand Winston Peters hari ini.

Menurut Peters, Wellington akan menghantar 100,000 dos vaksin campak ke Samoa. Unicef setakat ini sudah menghantar 110,000 dos vaksin.

Tambah beliau, lebih ramai pakar perubatan juga akan dihantar untuk membantu Samoa dalam program vaksin wajib kepada rakyat negara itu.

“New Zealand juga akan memberi sokongan psikologi kepada kakitangan perubatan di Samoa yang tanpa henti menguruskan pesakit.”

Selain New Zealand, Australia juga telah menghantar bantuan perubatan ke Samoa. Britain pula akan menghantar 13 kumpulan yang terdiri daripada doktor dan jururawat, Ahad ini.

Seramai 28 anak-kanak berusia bawah empat tahun meninggal dunia setakat ini sejak pertengahan Oktober. Kerajaan Samoa berkata seramai 20 lagi kanak-kanak dalam keadaan kritikal di hospital. – AFP, 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen