2 bekas menteri Namibia didakwa kerana rasuah


Bekas menteri perikanan Namibia Bernhard Esau didakwa kerana terlibat dalam skandal rasuah sebanyak $10 juta yang dibayar oleh syarikat penangkapan ikan utama Iceland. – Gambar AFP, 29 November, 2019.

BEKAS menteri perikanan dan kehakiman Namibia tiba di mahkamah semalam atas dakwaan rasuah sebanyak $10 juta yang dibayar oleh syarikat penangkapan ikan utama Iceland, skandal yang melanda pilihan raya umum minggu ini.

Bernhard Esau dan bekas menteri kehakiman Sackeus Shanghala serta empat suspek lain termasuk eksekurif bank tiba di mahkamah majistret di ibukota Windhoek.

Menurut laporan media mereka telah memberikan kuota ikan cencaru kepada Samherji, salah satu syarikat penangkapan ikan terbesar di Iceland sebagai ganti sogokan.

Hakim memerintahkan mereka untuk dipenjara semalaman dan kembali pada hari ini untuk pendengaran ikat jamin.

Skandal itu timbul sempena kempen terakhir parti Swapo untuk pilihan raya yang diadakan pada Rabu.

Kedua-dua menteri meletak jawatan tetapi menafikan terlibat dalam salah laku berkenaan.

Kedua-dua mereka dinamakan dalam dokumen yang diterbitkan oleh Wikileaks mendakwa Samherji telah memberi suapan kepada pegawai kanan untuk akses terus ke perairan Namibia.

Mahkamah berkata kedua-dua menteri merupakan tokoh utama dalam skandal tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkata penyiasatan setakat ini membuktikan bahawa konspirasi, rasuah, penipuan, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai telah dilakukan.

Pegawai anti-rasuah negara itu berkata perjanjian perikanan antara Namibia dan negara tetangga Angola pada 2014 tidak memberi manfaat kepada rakyat atau menyumbang kepada ekonomi.

Perikanan merupakan salah satu sektor ekonomi utama Namibia dan yang kedua adalah sektor perlombongan. – AFP, 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen