PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia akan menubuhkan Kelab Mahasiswa Umno Universiti di setiap universiti di negara ini yang akan dirasmikan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno minggu hadapan.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, idea tersebut merupakan hasil daripada siri pertemuan dan pemukiman bersama kepimpinan mahasiswa yang diadakan sebelum ini.
Jelasnya, kepimpinan mahasiswa telah mencadangkan supaya Umno menubuhkan kelab Umno di setiap universiti di negara ini bagi menggandakan penglibatan mahasiswa dalam politik tanahair.
“Kita akan melancarkan Kelab Mahasiswa Umno Universiti yang kita harap tidak mendapat tekanan daripada universiti kerana mereka sudah membuat pengisytiharan bahawa parti politik boleh menubuhkan sayap mahasiswa di peringkat universiti.
“Mahasiswa sendiri akan mengetuai kelab ini. Keputusan untuk menubuhkan kelab ini juga hasil daripada tuntutan mereka di beberapa siri pertemuan dan pemukiman kepimpinan mahasisw universiti tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Exco Pemuda Umno di ibu pejabat Umno, hari ini.
November tahun lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dipinda.
Sebulan selepas itu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.
Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.
Mengulas lanjut perkara itu, Asyraf menegaskan Pemuda Umno akan turun ke jalanan sekiranya kerajaan tidak membenarkan mereka menubuhkan kelab mahasiswa tersebut.
“Jika kerajaan tidak benarkan, kita turun ke jalanan berdemontrasi. Auku sudah benarkan. Jika mereka tidak benarkan, mereka sendiri melanggar Auku dan apa yang mereka perjuangkan selama ini.
“Mereka perjuangkan hak kebebasan mahasiswa untuk berpolitik. Sekarang ini mereka tidak seharusnya memberikan tekanan dalam apa jua bentuk,” ujarnya. – 28 November, 2019.
Komen