Mohammadin nafi hina media, namun akui kenyataan 'berambus'


Ravin Palanisamy Lee Chi Leong Chan Kok Leong

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi menjelaskan mengenai perang mulut dengan pihak media pada sidang media sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi nafi mengucapkan perkataan “sampah” dan “bodoh” terhadap jurugambar namun mengakui ada meminta salah seorang daripada mereka untuk berambus.

“Saya tak pernah cakap perkataan bodoh dan sampah,” katanya ketika menjelaskan mengenai perang mulut dengan pihak media pada sidang media sebelum ini.

Mohammadin berkata, beliau akan mengakui sekiranya melakukan perkara itu dan menasihatkan media agar tidak salah tafsir situasi berkenaan.

“Saya sangat mudah. Kalau saya buat, saya akan mengaku. Kalau tidak, tidak.

“Menggelar dan memanggil orang bodoh, itu bukan saya,” kata Mohammadin.

Terdahulu hari ini, tercetus perang mulut antara pihak media dan Mohammadin pada sidang media oleh Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, yang kemudiannya segera dileraikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Ahli Parlimen Silam itu mengakui ada memberitahu kepada salah seorang jurugambar untuk “berambus” selepas mendakwa dirinya dikejar untuk gambarnya dirakam.

“Dia asyik ambil gambar. Saya mahu ke tandas pun dia terus ambil gambar. Jadi saya minta dia hentikan dan baik berambus,” kata Mohammadin.

Insiden “sampah” didakwa berlaku apabila Mohammadin kembali ke Dewan Rakyat selepas rehat tengah hari.

Beliau menjadi marah apabila enam jurugambar mula mengambil gambarnya.

Menurut jurugambar Mogan Raj yang ada ketika kejadian, menteri berkenaan mula memarahi mereka.

“Mohammadin berkata ‘kenapa ambil gambar saya? Baik kamu berambus’,” kata Mogan.

Ditanya sama ada menteri berkenaan serius ketika itu, Mogan menjawab: “Saya takut bila beliau tiba-tiba marah kami.

“Saya kata kami hanya ambil gambar untuk stok. Tetapi beliau tak mahu dengar dan terus beredar.”

Mogan berkata, Mohammadin turut memanggil seorang lagi jurugambar bernama Abu “sampah”. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen