SIDANG media di Parlimen hampir dibatalkan berikutan tercetus perang mulut antara wakil media dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi kerana memanggil mereka “sampah”.
“Sebelum kita mulakan, kami mahu tanya menteri pelancongan mengapa panggil kami ‘sampah’ sedangkan kami hanya menjalankan tugas?” soal wartawan kepada Mohammadin di lobi Parlimen.
Ahli Parlimen Silam itu menjawab: “Bila saya cakap sampah dan bodoh?”
Wartawan yang sama menjawab ramai yang mendengar beliau berkata demikian.
Mohammadin kemudian menjawab: “Saya tak cakap macam itu. Baik kamu dengar betul-betul. Saya tak cakap macam tu”.
Seorang lagi wartawan kemudian bertanya apa yang beliau cakap.
Mohammadin menjawab: “Kamu buktikan pada saya yang saya cakap. Boleh?”
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking kemudian campur tangan dan bertanya sekiranya ada soalan lain.
Sidang media itu diadakan oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal selepas Mahkamah Rayuan di Kota Kinabalu menolak rayuan Musa Aman untuk mencabar pelantikan Shafie sebagai ketua menteri.– 28 November, 2019.
Komen