Inkues 3 lelaki ditembak di Batu Arang 13 Disember ini


INKUES tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Batu Arang, Rawang pada 21 September lepas akan bermula 13 Disember ini, di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata semua pihak, termasuk pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam kejadian berkenaan akan dipanggil dalam inkues itu.

Selain itu, Fadzil juga menjelaskan bahawa polis masih membuka kertas siasatan orang hilang, berhubung dakwaan kehilangan seorang wanita yang juga isteri kepada lelaki, yang ditembak dalam kejadian itu.

“Kami memerlukan maklumat daripada orang ramai jika ada berita baharu, untuk membolehkan polis mencari mangsa yang dikatakan hilang (dan) masa ini kami masih buka kertas siasatan (wanita) itu sebagai orang hilang,” katanya  kepada pemberita pada sidang media Pelupusan Barang Kes Perjudian di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada September itu, tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kilometer 22, Jalan Rawang, menghala Batu Arang dekat Kuala Lumpur.

Polis turut mengesahkan dua daripada mereka yang ditembak mati, adalah anggota kumpulan kongsi gelap 08, manakala hasil semakan menunjukkan seorang lagi mempunyai rekod pemutihan oleh Jabatan Imigresen, pada tahun 2013.

Polis turut menafikan terdapat seorang wanita yang juga isteri kepada seorang daripada suspek, dalam kereta dinaiki penjenayah itu, ketika kejadian.

Wanita terbabit, G Moganambal, 35, dilapor hilang, selepas kejadian itu dan masih belum ditemui sehingga kini. – Bernama, 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen