Heil Hitler: Ibarat menembak saudara seagama sendiri


“MAKA aku berterima kasih kepada Hitler kerana Holocaust.”

Begitulah gamaknya siaran status Facebook seorang siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bergraduasi kelmarin. Atas dasar membela tindakannya yang apologetik terhadap Hitler tersebut, pemuda tersebut membuktikan penindasan rakyat Palestin oleh tentera Zionis sebagai alasan mewajarkan tindakan Hitler tersebut.

Pemuda itu (atau sebilangan apologetis Hitler) mengandaikan “final solution” dapat mengelakkan terjadinya pembantaian tentera Zionis, Deklarasi Balfour, waima Perang Enam Hari yang mengakibatkan rakyat asal Palestin kehilangan hak ke atas tanah yang diduduki sejak sekian lama kepada pendudukan Yahudi dengan bantuan British.

Namun, sekiranya sejarah diubah, benarkah rakyat Palestin tidak kehilangan tanah mereka kepada pendatang Yahudi?

Itu soalan yang saya tinggalkan kepada kalian untuk menjawabnya dengan naluri, akal dan fikiran. Ada persoalan yang lebih mustahak untuk diisi dalam penulisan ini.

Apologetis Hitler. Masyarakat wajar bimbang lalu terpekik, terlolong, malah kalau perlu, terlompat-lompat sebagai tanda kerisauan bahawa virus ini sudah semakin hampir menakluki pemikiran masyarakat. Bersimpati kepada tindakan Hitler menunjukkan bagaimana sebilangan kecil masyarakat mewajarkan tindakan keganasan yang membawa kepada pematian orang.

Meyakini keganasan sebagai metod penyelesaian penindasan (yang bukan dalam jangkauan kepentingan nasional) menunjukkan akal fikiran sebilangan kecil masyarakat kita tidak sihat, dan dikhuatiri menimbulkan tindakan ganas yang mengancam ketenteraman awam.

ISIS juga bermula dengan bersimpati kepada perjuangan al-Baghdadi dan mewajarkan peperangan/keganasan walaupun bukan dalam jangkauan kepentingan nasional.

Untuk rekod, lazimnya pensimpati kepada perjuangan Hitler sering dilabel dengan jenama “Neo-Nazism”, yang mengagungkan tindakan Hitler tersebut dan berfikiran “adalah okay” jika menganut rasisme, ultra nasionalisme, xenofobia, anti-Semitik dan paling penting, mewajarkan Holocaust sebagai sesuatu yang perlu dilakukan.

Gerakan pensimpati Hitler ini wujud dalam jaringan global, yang mana di kebanyakan negara, wujud sebilangan kecil masyarakat yang menerima idea tersebut sebagai kebenaran bagi mereka.

Masih ingatkah kita pada peristiwa Christchurch?

Pelakunya, Brenton Tarrant juga adalah antara individu yang menerima idea Neo-Nazism. Ada tulisan pada senapang yang diconteng dengan slogan supremasi kulit putih seperti “14 Perkataan”; “We must secure the existence of our people and a future for white children”.

Pelaku juga didakwa saksi ketika dalam perjalanan ke masjid Christchurch tersebut memandu sambil mendengar lagu yang mengagungkan penjenayah perang Serbia, Radovan Karadzic, sebuah lagu yang dicipta ketika konflik Bosnia-Herzegovina berlaku.

Malah kalau dapat ditambah, konflik tersebut menyaksikan pembunuhan seramai 200,000 orang, 12,000 daripadanya adalah kanak-kanak, lebih 50,000 wanita diperkosa, dan lebih 2.2 juta orang lari menyelamatkan diri.

Nama Alexandre Bissonnette, pelaku tembakan massa di Pusat Kebudayaan Islam di Quebec, Kanada, yang membunuh enam Muslim dan mencederakan 19 orang, juga diabadikan pada senapang kepunyaan Tarrant. Pengganas Christchurch tersebut mengagungkan sosok yang mempunyai rekod melakukan genosid dan pembunuhan kepada Muslim.

Saya mengandaikan setiap pelaku keganasan supremasi putih, semestinya penganut faham neo-Nazisme, kerana seolah-olah mereka mempunyai jaringan yang sama, motif yang sama dan mempunyai pengaruh kepada setiap dari mereka dengan kaedah yang tersendiri.

Sama ada hipotesis ini hanyalah sebuah hipotesis yang gagal, atau kebenaran yang belum tersurat dalam jurnal atau buku akademik, ini merupakan pola yang jelas, neo-Nazisme mengakibatkan kematian kepada Muslim.

“Neo-Nazisme-Supremasi kulit putih-keganasan kepada penduduk selain kulit putih” merupakan sifir yang seolah-olah membenarkan hujah penulisan ini.

Apa yang cuba disampaikan adalah golongan pensimpati Hitler adalah mereka yang sering melakukan keganasan kepada Muslim kebanyakannya. Ideologi Neo-Nazisme membawa mudarat kepada migran Muslim di Eropah khususnya, dan yang paling terkesan dan visual adalah kejadian Christchurch tempoh hari.

Belum disebut lagi peristiwa bukan fatal lain yang melibatkan penganut idea Neo-Nazisme melakukan diskriminasi dan bertindak ganas terhadap migran Muslim.

Entah berapa banyak jenayah kebencian dilakukan terhadap migran Muslim atas idea “mempertahankan tanah air dari taklukan Muslim” oleh pensimpati Hitler ini.

Sekiranya pemuda siswazah UMS tadi mempunyai diaspora yang tinggi pada penduduk Gaza, pastinya dia tidak tergamak mengangkat tangannya sebegitu di atas pentas.

Sejarah harus disorot dengan skop yang luas, awasi perjalanannya dan tidak bersikap selektif apabila mengutarakan sesuatu yang sensitif.

Sewajarnya dia berasa malu, walaupun Hitler melakukan genosid ke atas warga Yahudi, yang kemudian menjadi penindas di Tanah Palestin, namun wujud pula individu yang meyakini perjuangan Hitler, kemudian membunuh saudara seagama dengan graduan sejarah UMS tersebut.

Seolah-olah graduan UMS tersebut berterima kasih pada susur galur perjuangan Hitler yang menyebabkan kematian 51 Muslim di Christchurch.

Ironi. – 28 November, 2019.

* Faiz Kamaruddin ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen