Kami bukan tin kosong, kata 1MDB


DANA pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah hampir mencapai “keseimbangan untung rugi” dalam pelaburan tenaganya dan bukanlah “tin kosong” seperti didakwa pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, 1MDB mengatakan ia juga mempunyai lebihan RM3 bilion yang dijana selepas penjualan TRX, Bandar Malaysia serta tanah di Pulau Indah dan Air Itam.

“Mempertimbangan pemindahan, antara lainnya, TRX, Bandar Malaysia, tanah di Pulau Indah dan Air Itam (kepada Kementerian Kewangan), 1MDB akan menerima bayaran dalam masa tertentu.

“Bayaran itu, bersama keuntungan monetisasi aset akan digunakan untuk memenuhi (tuntutan) asas dan faedah tanggungjawab sedia ada 1MDB, yang terutamanya terdiri daripada bon jangka panjang dan hutang sukuk, berjumlah kira-kira RM32.5 bilion pada kadar tukaran semasa dan bukannya RM40 bilion yang tersilap dipetik Pua,” kata 1MDB.

Katanya, perincian trasaksi itu sudah diletakkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tentang 1MDB bertarikh 7 April 2016.

1MDB menjual sebahagian asetnya kepada Kementerian Kewangan atas cadangan PAC.

“Maklumat dibentangkan kepada PAC (yang dianggotai Pua) dan menyediakan rancangan terperinci tentang aliran tunai masa depan berkaitan program rasionalisasi 1MDB yang menunjukkan lebihan dianggarkan berjumlah RM3 bilion akan dijana. 

“Sehubungan itu, selari dengan kepimpinan dan pembangunan daya saing hartanah di bawah MOF Inc dan monetisasi aset lain, wujud kemungkinan besar dalam tempoh tertentu, akan ada lebihan pendapatan dijana, sama ada diperingkat 1MDB atau diperingkat MOF Inc yang memiliki 100% kepentingan (1MDB),” tambah 1MDB.

1MDB yang menjadi tumpuan siasatan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Hong Kong juga menjangka wujudnya  “seimbang untung rugi” selepas melepaskan aset tenaganya, Edra Power Holdings Sdn Bhd kepada China General Nuclear Power Corp (CGN).

Syarikat sarat hutang yang pernah diterajui Perdana Menteri Najib Razak itu berkata Pua memperdaya rakyat dengan mengatakan pelaburan 1MDB bernilai RM12.1 bilion dalam sektor tenaga menyebabkan kerugian berbilion ringgit apabila 1MDB melupuskan aset tenaganya kepada CGN dengan bayaran RM9.3 bilion.

“Bukan sahaja angka yang dipetik Pua silap, dia juga gagal menyebut yang walaupun pertimbangan penjualan semula itu adalah RM12.05 bilion, syarikat menerima RM1.63 bilon tunai dalam penyata baki kira-kira, yang menyebabkan penjualan semula pada kira-kira RM10.42 bilion.

“Tambahan pula, dalam tempoh pemilikan, dianggarkan RM2.18 bilion dijana dalam bentuk dividen yang digunakan untuk membayar faedah pelupusan hutang.

“Sehubungan itu, apabila tunai, dividen dan kos lain dipertimbangkan, setelah penjualan kepada CGN dengan bayaran tunai RM9.83 bilion (bukannya RM9.3 bilion seperti didakwa), 1MDB hampir mencapai ‘seimbang untung rugi’ dalam pelaburan tenaganya,” kata kenyataan itu lagi.

Pua pada Rabu mengatakan 1MDB kini hanyalah tin kosong dengan hutang RM40 bilion. Ketua publisiti nasional DAP itu memberi maklum balas kepada kenyataan Najib pada Selasa yang 1MDB berada pada landasan tepat menghasilkan keuntungan. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen