KERAJAAN Pakatan Harapan mempunyai dana mencukupi untuk membayar gaji penjawat awam dan tidak perlukan pinjaman untuk membayarnya, kata Lim Guan Eng.
Kenyataan itu dikeluarkannya untuk membidas dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan yang Putrajaya meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.
“Dakwaan beliau adalah jauh meleset dan mudah disangkal,” kata Lim.
Tambahnya, pengesahan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada kadar A3 atau A- dengan unjuran pertumbuhan stabil membuktikan ia tidak perlu meminjam wang untuk membayar penjawat awam.
“Sekiranya Kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.”
Lim juga membangkitkan soal sasaran kerajaan untuk menurutnkan defisit fiskal daripada 3.7% KDNK pada 2018 kepada 3.4% tahun ini.
Katanya lagi, semua pinjaman dibuat kerajaan adalah untuk pembiayaan defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti amalan biasa pentadbiran terdahulu.
“Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman.”
Mohamad membuat tuduhan pinjaman untuk bayar gaji itu pada Isnin lalu ketika membahaskan belanjawan Negeri Sembilan di Dewan Undangan Negeri.
Lim malah mendedahkan kerajaan Kelantan yang diterajui PAS yang sebenarnya terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam negeri.
“Kementerian Kewangan pada 14 Oktober 2019 telah meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan negeri Kelantan berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan negeri tersebut. Ini termasuk untuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung tahun 2019.
“Pada tahun 2018, Kerajaan Persekutuan juga telah mendahulukan wang sejumlah RM91.5 juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan sama.
“Jelas sekali bahawa kritikan Mohamad Hassan telah jauh tersasar dan sepatutnya dialihkan ke arah kerajaan negeri Kelantan, dan bukannya Kerajaan Persekutuan,” kata Lim lagi. – 28 November, 2019.
Komen